KONSERT NE-YO LIVE IN MALAYSIA LUAR BIASA!


BERTENAGA, menghiburkan dan menggamit nostalgia. begitulah gambaran konsert Ne-Yo Live In Malaysia yang baru sahaja melabuhkan tirainya di Plenary Hall, KLCC pada malam Sabtu.

Hampir 3,000 peminat hadir bagi melihat sendiri aksi lincah nan istimewa bintang terkemuka dari Amerika Syarikat, Ne-Yo yang dibawakan khas oleh penganjur acara Hitman Solutions dan Happymoon.

Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal menyifatkan persembahan tersebut berjaya mengimbau nostalgia peminat muzik R&B.

“Luar biasa! Ne-Yo menjangkaui semua ekspektasi dengan memberikan persembahan yang penuh energetik dan mengimbau nostalgia peminat muzik R&B di awal tahun 2000 yang turut menyanyikan bersama lagu-lagu kegemaran mereka ketika zaman muda-muda dahulu.

“Walaupun dewan konsert menyediakan tempat duduk, ini bukanlah penghalang bagi penonton untuk turut berdiri dan bergembira sepanjang berlangsungnya persembahan,” katanya.

Konsert dimulakan Ne-Yo dengan persembahan bertenaga menyanyikan lagu hits Miss Independent dan disusuli dengan She Knows, Because of You, One In A Million dan lain-lain.

Dia kemudiannya mempamerkan vokal mengasyikan melalui segmen akustik mendendangkan lagu Do You, Mad dan You Should Let Me Love You, diikuti dengan beberapa segmen lain memberi kepelbagaian mood persembahan ketika konsert.

Penonton di dalam dewan terpaku sepanjang berlangsungnya persembahan kerana tiada momen idle daripada Ne-Yo yang membawakan bukan sahaja lagu-lagu ciptaannya sendiri, bahkan hasil ciptaan untuk artis-artis terkemuka yang lain, sekali gus mempamerkan sisi berbeza dirinya sebagai penulis lagu dan juga komposer berbakat.

Menurut Pengasas Happymoon, Kesavan Purusotman, antara faktor pemilihan Ne-Yo adalah dia mempunyai fanbase besar di Malaysia.

Malah ramai  yang merindui lagu-lagu R&B nyanyiannyadengan elemen hip-hop yang masih segar di ingatan.

“Kebolehan Ne-Yo berinteraksi dengan penonton juga amat menakjubkan kerana berjaya mengajak kesemua yang hadir untuk turut serta bernyanyi selain membawa kembali kenangan manis sewaktu di alam remaja.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutamanya Happymoon kerana menjadikan kolaborasi ini sesuatu yang diluar jangkaan dan semoga perhubungan ini berterusan dengan pelbagai lagi persembahan menarik dan istimewa. Tidak lupa juga kepada rakan penaja kami Mola Chill Club (Rakan Digital), Shangri La (Rakan Hotel) dan Radio Rasmi – Sinar FM, Mix FM, Lite FM dan Melody FM," katanya.










Post a Comment

Previous Post Next Post