FILEM, DRAMA SELAMI DUNIA AUTISME DI RTM



AUTISME adalah sejenis kecacatan neurologi yang membatasi kemampuan penghidap tersebut dalam aspek komunikasi, interaksi sosial dan tingkah laku. 

Hakikatnya, masih ramai yang tidak mengetahui mengenai autisme ini secara mendalam malah ada yang memberi persepsi buruk terhadap individu serta keluarga yang mempunyai anak autisme ini. 

Untuk memahami apa itu autisme serta penceritaan tentang pengorbanan ibu bapa dalam membesarkan anak yang menghidapi penyakit ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) tampil dengan tayangan drama dan filem yang disiarkan awal November ini menyentuh tentang autisme itu sendiri.

Menerusi tayangan telefilem Kasih Dari Syurga arahan Riza Baharudin pada 7 November ini, jam 9 malam, RTM berkongsi menonjolkan kecekalan hati seorang ibu yang mempunyai anak disahkan autisme.

Namun drama disiarkan mengisi slot Drama On 2 di TV2 ini menonjolkan keistimewaannya yang tersendiri kerana menggandingkan pasangan pelakon Zarina Zainuddin dan salah seorang daripada anak kembar istimewanya, Muhammad Raizal Azrai, menghidupkan plot kisah drama kekeluargaan menyentuh hati ini.

Perjalanan ceritanya bermula apabbila doktor mengesahkan anak Suhaira menghidap autisme pada umur lima tahun. Walaupun terkejut tetapi Suhaira tidak kecewa kerana dia percaya itu juga rezeki dan dugaan daripada Allah.

Baginya dikurniakan anak autisme kerana dia terpilih dan Allah sayangkannya. Namun sebaliknya dengan suaminya tidak dapat menerimanya lalu menceraikan Suhaira.

Muncul seorang lelaki yang ikhlas mahu membantunya sama-sama membesarkan anaknya itu. Adakah Suhaira menerima jodoh tersebut? Drama ini turut dibintangi oleh Raja Azmi, Haeriyanto Hassan, Meor Mhd, Mili Supina dan Jasmid Hamid.

Sementara itu dalam filem Indonesia berjudul Dancing in The Rain pada 12 November ini, jam 10.30 malam yang juga disiarkan menerusi TV2. Sama-sama selami perjalanan kisah kehidupan Banyu, anak pengidap autism. 

Sejak lahir, Banyu diabaikan oleh orang tuanya, namun mujur ada Eyang Uti dengan penuh kasih sayang merawat dan membesarkan Banyu.

Rasa hiba semakin dalam setelah Banyu disahkan mengidap spektrum autis. Hal tersebut membuat Banyu sukar untuk berinteraksi dengan orang di sekelilingnya. Apatah lagi, Banyu juga sering dibuli oleh teman-temannya.

Namun seiring waktu yang berjalan, Banyu ditakdirkan bertemu dengan sahabat yang sangat menyayanginya, iaitu Kinara dan Radin. Lalu, persahabatan ketiganya semakin erat. Akan tetapi, persahabatan ketiganya sentiasa mengalami berbagai ujian.

Filem arahan Rudi Aryanto ini menyaksikan lakonan mantap Dimas Anggara, Bunga Zainal, Deva Mahenra dan Christine Hakim.


[KREDIT: RTM]







Post a Comment

Previous Post Next Post