Hot Posts

6/recent/ticker-posts

ISS ARFFAN KEMBALI MEMPERTARUHKAN SINGLE KEDUA, CINTA LENYAP



SETELAH muncul dengan single pertama Tiada Bernoktah, Iss Arffan kembali mempertaruhkan buah tangan terbaharu, Cinta Lenyap. 

Lagu bergenre ballad dengan naratif lirik yang terinspirasi daripada kisah sebenar tentang percintaan seorang lelaki kelainan upaya pendengaran dan bisu sewaktu di bangku sekolah, yang mana pengakhiran kisahnya telahditinggalkan kerana kekurangannya.

"Saya benar-benar cuba menghayati sebaik mungkin melodi dan lirik Cinta Lenyap sewaktu rakaman, sebak mengenangkan kisah di sebalik lagu ini setelah membayangkan perasaan ditinggal kekasih semata-mata kerana beliau merupakan insan Orang Kelainan Upaya (OKU).

"Sebuah lagu cinta tentang harapan, keikhlasan hati yang akhirnya dipersiakan," ujar Iss Arffan menceritakan pengalaman sewaktu merakamkan lagu ini.



Pemenang tempat ketiga Lagu Cinta Kita 2021 musim kedua yang disiarkan di TV3 ini turut menceritakan survival seni beliau sebelum merakamkan single secara profesional di bawah label MAP Music di atas minat yang tidak bertepi dalam bidang ini.

"Cita-cita sejak kecil ialah menjadi seorang pemain bola sepak sebenarnya, sehingga saya berjaya mewakili negeri Sarawak untuk pertandingan futsal pada usia 11 tahun.
"Suatu hari secara tidak sengaja ibu saya telah mendengar nyanyian saya dan terus mengambil keputusan menghantar saya ke kelas vokal yang memfokuskan kepada irama Melayu asli, dan saya terus mencuba pelbagai perkara untuk memperluaskan lagi pengalaman seni saya dengan menyertai pelbagai pertandingan serta turut berbusking di seluruh Sarawak.

"Pencapaian tertinggi ketika itu setelah menggondol tempat ketiga dalam pertandingan lagu Melayu asli di antara sekolah seluruh Sarawak," katanya.


Melihatkan bakat serta komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk terus maju dalam bidang nyanyian, Iss Arffan mengharapkan single keduanya, Cinta Lenyap, akan mendapat tempat di hati para pendengar pelbagai lapisan masyarakat.

Cinta Lenyap bukan sekadar halwa telinga, malah sarat dengan pelbagai mesej, umpamanya bahana memberi harapan dan pedihnya setelah ditinggalkan, apatah lagi kerana kekurangan yang dialami sejak azali.

Cinta lenyap akan diluncurkan di platform digital dan streaming pada 15 Julai ini.


[KREDIT: MAP Music]




Post a Comment

0 Comments