14 Jan 2022

PERJUANGAN GADIS MISKIN DALAM SINETRON INDONESIA, CINTA ASYIFA


MENGAMBIL tempat menggantikan drama bersiri Korea, Black yang bakal berakhir pada 17 Januari depan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menambah pilihan program luar negara dalam slot Asean Screen On 2 di TV2 dengan sinetron kekeluargaan Indonesia bertajuk Cinta Asyifa.

Menemui penonton mulai 18 Januari ini, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 8 malam di TV2, siri 26 episod ini bercerita tentang kisah seorang gadis cantik yang sentiasa ditemani sahabat karibnya, Cemen (Mas Cemen) yang rupa-rupanya dalam diam menaruh hati padanya.

Setiap hari Syifa keluar memungut barang yang dianggap masih berguna ditempat pelupusan sampah untuk dijual. Segalanya dilakukan demi memenuhi keperluan untuk membiayai perubatan ibunya yang sakit juga menanggung adiknya yang masih kecil iaitu Nabila.

Syifa memiliki pak cik iaitu Faizal dan adiknya Syahrani yang hakikatnya bukan mahu membantu kehidupan mereka sebaliknya selalu menyusahkan Syifa.

Suatu hari, Syifa bertemu dengan Tristan anak hartawan yang sedang patah hati kerana dikhianati kekasihnya, Rachel. Pertemuan pertama mereka menimbulkan salah faham antara Tristan dan Syifa yang membuat Tristan sangat membenci Syifa. Namun, takdir menentukan Syifa akhirnya masuk ke dalam keluarga Tristan.

Ayah Tristan iaitu Pak Prabu sangat ingin menjadikan Syifa sebagai anak angkatnya. Namun, keinginannya itu mendapat tentangan hebat daripada isteri Pak Prabu dan juga Tristan sendiri.

Masa berlalu Tristan mula menyedari dirinya tertarik dan jatuh cinta pada Syifa. Tristan pun mula berusaha mendekati dan memberi perhatian pada Syifa. Hal ini membuat Ibu Tristan sangat marah dan berusaha menghalang hubungan mereka kerana mereka orang kaya dan Syifa adalah orang miskin. Namun, rupanya Syifa juga menyimpan perasaan terhadap Tristan.

Di lain sisi rupanya Zidan, adik Tristan pun juga memendam perasaan kepada Syifa. Bermula dari rasa simpati melihat Syifa yang selalu menjadi mangsa hinggalah timbul rasa cinta. Namun apakah daya, cinta Syifa kepada Tristan sangat kuat, meskipun berkali-kali Tristan menyakitinya.

Syifa berada dalam dilem cinta tiga segi. Namun dia tidak mahu menyerah. Dia berusaha untuk  memperjuangkan cintanya meskipun dia tahu semua itu akan menyakitkan.

Lalu bagaimanakah kesudahan kisah cinta Syifa kepada Tristan? Bagaimana pula dengan cinta terpendam Zidan kepada Syifa? Apakah pula nasib Faizal dan Syahrani setelah Syifa tinggal bersama Tristan?

Cinta Asyifa dibintangi pelakon berbakat Dhea Annisa, Eza Gionino, Aldy Taher dan Queen Gendhis.


[KREDIT: RTM]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan