27 Ogo 2021

PERARAKAN ANIMASI VIRTUAL SEMPENA MERDEKA 31 OGOS INI DI SURIA FM


PERARAKAN Merdeka adalah antara acara yang dinanti-nantikan saban tahun ketika menyambut Hari Kebangsaan. Namun, kerana pandemik Covid-19 yang melanda sejak tahun 2020, acara ini tidak lagi dianjurkan demi menjaga keselamatan rakyat Malaysia. 

Bagi menyambut Hari Kebangsaan ke-64 dan mengembalikan kemeriahan suasana perbarisan Merdeka, Suria FM dan KL Sketch Nation akan menganjurkan perarakan animasi virtual pada 31 Ogos ini jam 9.30 malam menerusi platform digital Facebook dan YouTube mereka. 

Istimewanya Perarakan Merdeka SuriaxKLSketchNation ini adalah ia membabitkan kontinjen-kontinjen wakil Malaysia yang unik dan menarik kerana kesemua ahli kontinjen merupakan karakter-karakter animasi digital yang dilukis sendiri oleh rakyat Malaysia.

Bermula pada 29 Julai lalu, orang ramai yang ingin menyertai perarakan Merdeka Suria x KLSketchNation ini perlu menghantarkan lukisan atau ilustrasi unik karakter pilihan mereka mengikut template dan 9 jenis kategori yang disediakan di laman web Suria. Seramai lebih 1000 penyertaan telah diterima sehingga tarikh tamat peraduan pada 20 Ogos lepas.

Karakter-karakter animasi yang dihantar akan menjadi sebahagian daripada barisan kontinjen mengikut kategori masing-masing. Antara kategori yang telah diperkenalkan adalah Olimpik, Patriotik, Super Heroes, Flora, Fauna, Hantu Malaysia, Selera Malaysia, Kebudayaan, dan Teknologi.

Kontinjen Suria FM yang terdiri daripada karakter penyampai-penyampai Suria juga tidak ketinggalan menjadi salah satu kontinjen dalam perarakan Merdeka ini.

Peraduan lukisan animasi ini membuka peluang rakyat Malaysia yang berbakat untuk merebut sebahagian daripada wang tunai berjumlah RM4,000 dan hadiah eksklusif daripada Suria FM dan KLSketchNation.

Animasi tiga pemenang utama dan 10 pemenang saguhati terpilih akan diumumkan dan menjadi kontinjen terakhir di dalam perarakan Merdeka ini.

Pemenang tempat pertama akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,000 manakala tempat kedua akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,500. Tempat ketiga pula akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM500 dan 10 pemenang akan menerima hadiah saguhati barangan eksklusif daripada Suria FM dan KLSketchNation bernilai RM100 setiap satu.

Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin,

“Kolaborasi bersama KLSketchNation untuk projek perarakan Merdeka ini merupakan pengalaman baru buat Suria FM kerana kami tidak pernah lagi menganjurkan konsep peraduan sebegini dimana memberikan peluang bagi pendengar untuk turut sama menyemarakkan semangat kemerdekaan dengan menghasilkan karakter animasi bertemakan patriotik.

“Ini merupakan satu kelainan yang Suria FM mahu tonjolkan dalam penganjuran peraduan sekaligus ingin mendorong masyarakat Malaysia sama-sama meraikan Hari Kebangsaan dengan norma baru dan secara virtual.

"Suria FM berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang telah menghantarkan penyertaan dan juga kepada rakan penganjur KLSketchNation yang sudi bekerjasama dengan Suria FM. Diharapkan selepas ini kita boleh bekerjasama dalam projek istimewa yang lain,” katanya.



Sementara itu, Presiden KL Sketch Nation, Ahmad Hakym Ahmad Hilmy berkata;

“KL Sketch Nation sangat menghargai peluang dan kepercayaan pihak Suria FM dalam memberikan ruang untuk kerjasama yang kami kira sangat berjaya.

"Kami juga berbesar hati dapat bersama Suria FM untuk meneruskan legasi perarakan Malaysia yang sekian kalinya disambut pada setiap hari kebangsaan walaupun mendepani pandemik tahun ini.

“Program ini bertujuan untuk mengetengahkan kepakaran komuniti seni di Malaysia dengan dibarisi 10 sukarelawan seni di bawah KL Sketch Nation dalam pelbagai bidang termasuk rekabentuk grafik, animasi 2D dan 3D serta multimedia dalam penghasilan program kali ini.

"Jumlah penyertaan yang melebihi 1000 lukisan dari segenap masyarakat membuktikan kehebatan rakyat Malaysia yang mempunyai bakat-bakat dan kebolehan bertaraf antarabangsa,” katanya.



Rasai kemeriahan Perarakan Merdeka Suria x KLSketchNation bersama ahli keluarga dan kawan-kawan pada 31 Ogos ini, jam 9.30 malam di semua platform digital Suria dan KLSketchNation.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web suria.my atau ikuti media sosial Suria Malaysia.


[KREDIT: Suria FM]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan