Hot Posts

6/recent/ticker-posts

NORMAL BAHARU CERIA MEGASTAR 2020


ASTRO dengan berbesar hati mengumumkan program pencarian bakat kanak-kanak Ceria Megastar akan kembali bersiaran pada setiap Sabtu, mulai 20 Jun 2020, jam 9 malam, di saluran Astro Ceria (611) dan Ceria HD (631). 

Sebelum ini, Ceria Megastar menghentikan siaran langsungnya selama hampir 3 bulan, bagi mematuhi Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) yang diwajibkan kerajaan Malaysia pada Mac lalu. 

Menggalas tugas hos bagi Ceria Megastar adalah pengacara tersohor tanah air, Nabil Ahmad. Di meja juri tetap pula adalah Ernie Zakri dan Zizan Razak, yang akan disertai seorang juri jemputan seperti Mark Adam, Ayda Jebat, Shuib Sepahtu dan Dato AC Mizal setiap minggu. 

Di posisi penasihat persembahan pula adalah penyanyi dan guru vokal disegani ramai, Datuk Syafinaz Selamat, penari dan koreografer hebat, Alam Wakaka serta naib juara Dansa dan Sing, Chubb-E. 

Selain itu, selari dengan terma norma baharu pasca-PKP, program yang sepatutnya disiarkan secara langsung ini sebaliknya akan dirakam terlebih dahulu.


[Cecilia Wong, Ketua Saluran Astro Ceria] 


Cecilia Wong, Ketua Saluran Astro Ceria berkata, 

“Bagi mematuhi syarat-syarat prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19, program ini hanya akan diteruskan dengan rakaman awal tanpa kehadiran penonton di studio. 

"Kami juga mengambil beberapa langkah proaktif demi memastikan keselamatan kesemua yang terlibat dalam produksi program ini, seperti mensanitasi kesemua kawasan umum, bilik solekan, peralatan muzik dan sebagainya secara berkala. Pelitup muka serta pembersih tangan juga disediakan di studio.”


Mengulas tentang kaedah baharu sesi rakaman bagi program Ceria Megastar, Cecilia berkata, 

“Kesemua peserta akan membuat persembahan di rumah melalui panggilan dalam talian secara langsung, manakala para juri akan menilai persembahan mereka di studio. Hos dan penasihat persembahan di studio juga akan berinteraksi dengan peserta melalui panggilan dalam talian. 

"Astro Ceria selaku peneraju utama kandungan hiburan kanak-kanak dan keluarga tekad dalam usaha kami untuk kekal berinovasi dalam penghasilan program-program kami. 

"Terdahulu, sesi rakaman telefilem istimewa yang disiarkan di saluran Astro Ceria, ‘SMK: Raya Dekat Jauh’ yang dibintangi Wafiy Aan, Arena Wan, dan Kashika Selvam juga dilakukan secara berasingan di rumah masing-masing ketika PKP.”


[Nabil Ahmad]

Peserta Ceria Megastar terdiri daripada Amira yang berbakat bermain drum, Adinda (nyanyian), Group 17 (lakonan), Haiqal (silap mata), Ija ZYC (tarian), Kowachee (tarian), Nana (nyanyian) dan Yaashwin (Human Calculator).

Format penjurian adalah terbahagi kepada dua, di mana nasib para peserta akan diadili berdasarkan pemarkahan oleh barisan Juri Tetap dan undian peminat secara dalam talian. 

60 peratus keputusan ditentukan oleh juri yang akan menilai para peserta berdasarkan pecahan markah bagi elemen persembahan (20%), elemen kreativiti (20%), penampilan (10%) dan faktor ‘Wow’ (10%). 

Setiap minggu, pihak juri juga akan menganugerahkan ‘Star of the Week’ kepada peserta yang memperoleh markah tertinggi. Di samping itu, lebihan 40 peratus pula ditentukan oleh undian peminat secara dalam talian menerusi laman rasmi www.astroceria.com.my/megastar.

Juara Ceria Megastar akan membawa pulang wang tunai bernilai RM25 ribu beserta trofi sumbangan Astro. Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula masing-masing akan memenangi RM15 ribu dan RM10 ribu beserta trofi. Tempat keempat pula akan menerima hadiah saguhati bernilai RM5 ribu beserta trofi.

Ceria Megastar akan kembali bersiaran mulai Sabtu, 20 Jun 2020, jam 9.00 malam menerusi saluran Astro Ceria (611) dan Ceria HD (631) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel. Siaran secara serentak juga akan dipancarkan di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (124).


[Penasihat Persembahan Ceria Megastar 2020 - Chubb E, Datuk Syafinaz Selamat dan Alam Wakaka]

CERIA MEGASTAR
Bahasa: Melayu         
Hari: Setiap Sabtu (Mulai 20 June) 
Masa: 9 malam 
Saluran: Astro Ceria
Terbitan: Astro 
Juri Tetap: Ernie Zakri & Zizan Razak    
Pengacara: Nabil Ahmad 


[KREDIT: Astro/Astro Ceria]

Post a Comment

0 Comments