Hot Posts

6/recent/ticker-posts

SINAR KEDUA BUAT NAQIU


SATU bakat besar tanah air yang lama menyepi, kini kembali di persada seni. Berbekalkan bakat yang versatil, Naqiu bersinar kembali sebagai penyanyi dan komposer. 

Tidak dinafikan, kemunculan Naqiu dirindui oleh peminat, apatah lagi Naqiu dan kumpulan remajanya, Boboy pernah menjadi fenomena pada era 2000an dan merupakan kegilaan ramai. Boboy merupakan nama besar setanding kumpulan remaja popular lain seperti Spin dan New Boyz.

Namun, bekas vokalis kumpulan Boboy ini pernah mengambil keputusan untuk menyepi selama 12 tahun demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga yang sedang dibina. 

Penyanyi bersuara serak basah ini pernah menjadi penyanyi kelab selama tempoh beliau mendiamkan diri dari industri seni tanah air. Naqiu yang kini berusia 34 tahun ingin kembali menyinari persada.

Kemunculan semula Naqiu atau nama sebenarnya Wan Naqiuddin Mohd Najib sebagai pesaing sengit bagi sebuah program televisyen, Gegar Vaganza menjadi fenomena yang akhirnya menobatkan Naqiu sebagai Juara Gegar Vaganza musim ke-6 (GV6).

Penyanyi yang popular dengan lagu Episod Cinta itu kini bernaung di bawah syarikat pengurusan MindOrder Sdn Bhd sejak tahun 2019.




Sinar Kedua merupakan single terbaru yang dipertaruh oleh Naqiu sebagai titik permulaan karier solonya. Sinar Kedua telah dilancarkan pada 23 Mac 2020 di laman Youtube dan telah memperoleh hampir 353,000 tontonan setelah satu minggu dikongsikan di akaun Youtube MVM Production. 

Lagu Sinar Kedua yang diterbitkan oleh MindOrder Sdn Bhd ini merupakan karya sepenuhnya oleh Naqiu Mohd.

Muzik video Sinar Kedua yang merupakan arahan Murshid Eunos dan produksinya Neon Pixel ini masih berada di carta video trending di Youtube sehingga kini. 

Lagu ini mengisahkan tentang luahan Naqiu yang menghargai dan mensyukuri peluang kedua dikurniakan oleh Tuhan kepadanya selepas 12 tahun menyepi daripada dunia seni nyanyian. Segala-galanya bermula selepas bintang dari Johor ini menyertai pengurusan MindOrder Sdn Bhd dan GV6.

Pada permulaan muzik video Sinar Kedua ini terdapat bait kata “Untuk Mama...” yang memberikan mesej bahawa karya Sinar Kedua ini ditujukan khas buat ibunda tercinta. Lagu Sinar Kedua boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Deezer, KKBox dan Joox.

Akhir sekali, pihak MindOrder Sdn Bhd serta MVM Production berharap agar rakan-rakan media dan penggemar muzik tempatan dapat memberikan sokongan padu untuk Naqiu terus menghasilkan karya-karya unggul buat peminat seni dengan bakatnya. Harapan agar single Sinar Kedua ini dapat menjadi sinar kedua buat Naqiu.

Semoga Sinar Kedua mendapat tempat di hati anda, sekaligus mengimbau kenangan suara penyanyi pada tahun 2000an yang masih relevan di era moden ini!

Post a Comment

0 Comments