4 Apr 2020

DOKUMENTARI MASYARAKAT CINA MUSLIM MALAYSIA


RTM mengambil inisiatif untuk berkongsi keindahan dan kebaikan Islam dengan golongan yang bukan Islam menerusi dokumentari terbaharu berjudul Cina Muslim Malaysia yang disiarkan mulai 5 April ini, setiap Ahad, pukul 6.00 petang di TV1. 

Dalam 13 episod program ini penonton diberikan pendedahan tentang masyarakat Cina Muslim di Malaysia dari segi sejarah, latar belakang sosiobudaya, ekonomi dan politik. Selaku hos, Iswan Ismail akan berkunjung ke beberapa lokasi tertentu di samping menemu bual tokoh-tokoh masyarakat Cina Muslim di Malaysia.

Episod pengenalannya menjelaskan tentang kewujudan masyarakat Cina Muslim di Malaysia. Kehadiran Cina Muslim di Malaysia bermula sejak zaman Kesutanan Melayu Melaka sekitar abad ke-15. Laksamana Cheng Ho adalah individu yang memulakan kedatangan Islam ke Tanah Melayu. 

Bapanya orang Iran, manakala ibunya seorang Cina Muslim. Pengacara telah menemu bual Prof.Taufik Yap, Presiden MACMA Malaysia dan Puan Caren, dari Muzium Cheng Ho Melaka untuk mendapatkan maklumat tentang masyarakat Cina Muslim Malaysia. 

Satu bukti kehadiran masyarakat Cina Muslim di Melaka berdasarkan terdapat kubur-kubur orang Cina yang dibina di Bukit Cina, Melaka yang menghadap ke arah kiblat. 

Seterusnya hos berkunjung ke beberapa restoran yang diusahakan oleh Cina Muslim. Lokasi pertama, Restoran Mohd Chan Abdullah di Rawang. Mohd Chan telah mengusahakan restoran itu sejak sebelas tahun yang lalu. 

Beliau menjelaskan perbezaan makanan di restorannya dengan makanan yang disediakan di restoran orang Cina yang bukan Muslim adalah dari segi penggunaan bahan-bahan yang halal. Restoran Cina Muslim sudah banyak diusahakan di Malaysia dan sekarang menjadi semakin popular. Antara makanan Cina Muslim ialah Nasi Ayam Hainan, Kolomi Wantan, dan Kuih Pau. 

Berikutnya hos menemu bual seorang tokoh Maal Hijrah tahun 2007, Datuk Dr.Fadli Cheah yang juga pakar neurosurgeri di Hospital Kuala Lumpur. Beliau merupakan seorang pakar yang rajin dan sangat prihatin terhadap pesakit-pesakit yang berkaitan dengan neurosurgeri. 

Seorang lagi tokoh Cina Muslim ialah seorang selebriti, Adam Corrie. Adam Corrie menceritakan pengalaman pertamanya mengucap dua kalimat syahadat dan mengerjakan Umrah di Mekah. Tokoh Cina Muslim yang ketiga ialah Pengerusi Persatuan Cina Muslim Kelantan.

Sementara itu ada juga paparan koperasi yang diusahakan oleh masyarakat Cina Muslim di Malaysia iaitu Koperasi MACMA Kelantan dan Koperasi MACMA Terengganu yang ditubuhkan untuk membantu orang-orang Cina Muslim berniaga dengan cara menyalurkan modal untuk perniagaan. 

Datin Norhana Ng, Pengerusi Koperasi MACMA Terengganu menjelaskan bahawa koperasi berkenaan telah banyak membantu orang-orang Cina Muslim dalam mengusahakan Restoran Cina Muslim. Di Kelantan, banyak didirikan Medan Selera Mualaf yang sangat popular dan semakin digemari oleh masyarakat Malaysia.

Menarik dikongsikan tentang Sekolah Rendah Agama Islam Sri Awfa di Seremban yang dibina untuk menyediakan pembelajaran peringkat rendah anak-anak Cina Muslim. Sekolah ini merupakan sekolah anak angkat kepada MACMA Malaysia. 

Sekolah ini menyediakan pendidikan bahasa Mandarin, bahasa Inggeris, bahasa Melayu, subjek akademik dan Pendidikan Islam. Bagi ibu bapa yang mualaf, kurikulum sekolah ini sangat mereka alu-alukan kerana bagi mereka anak-anak mereka perlu tunjuk ajar yang lebih intensif tentang Islam kerana mereka sendiri juga sedang mempelajarinya.

Ia memaparkan tentang pendakwah-pendakwah Islam yang terdiri daripada Cina Muslim di Malaysia. Salah seorang yang ditemui pengacara ialah Pengerusi Persatuan Cina Muslim Selangor, Syafiq Rafiqin Liow. 

Beliau menyatakan bahawa dakwah dalam kalangan mualaf sangat perlu kerana mualaf di Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa, keturunan dan adat resam. Satu lagi cara berdakwah yang dilakukan oleh orang-orang Cina Muslim adalah secara 'street dakwah'. 

Salah seorang yang ditemui ialah Saudara Wong Wai Hong, seorang ahli NGO. Beliau menyatakan bahawa dakwah jalanan sangat berkesan untuk menyebarkan kefahaman tentang Islam kerana mualaf banyak berada di jalan-jalan dan kurang berada di dalam masjid yang hanya menanti penceramah dari JAKIM dan sebagainya. 

Seorang lagi tokoh pendakwah Cina Muslim yang aktif berdakwah ialah Datin Norhana Ng, Pengerusi MACMA Terengganu. 

Episod berikutnya tentang beberapa badan NGO yang ditubuhkan oleh masyarakat Cina Muslim di Malaysia. Badan tersebut adalah MACMA (Malaysian Chinese Muslim Association) yang terdapat di setiap negeri di Malaysia. 

Tujuan penubuhannya adalah untuk membantu mualaf Cina dan kaum-kaum lain di negara ini dari segi ekonomi, sosial, dan kefahaman tentang Islam. Antara sumbangan MACMA kepada mualaf adalah bantuan modal untuk berniaga secara kecil-kecilan, bantuan sara hidup, kelas-kelas agama, kelas-kelas kemahiran dan berdakwah. 

Sebuah persatuan lagi telah ditubuhkan pada tahun 2013, iaitu Multiracial Reverted Muslims (MRM) yang mempunyai tujuan yang sama seperti MACMA. Selain itu, terdapat juga Hidayah Center yang menjadi sebuah tempat untuk para mualaf mendapatkan panduan yang lebih jelas tentang Islam.

Kisah beberapa buah masjid yang terdapat di Malaysia, yang dibina oleh masyarakat Cina Muslim. Semua masjid yang dibina oleh masyarakat Cina Muslim adalah menonjolkan seni bina dan budaya Cina. Sebuah masjid yang telah dikunjungi oleh pengacara ialah Masjid Beijing, Rantau Panjang, Kelantan. 

Hos juga berkunjung ke Masjid Cina Negeri Melaka. Masjid ini menampakkan hasil bdaya orang-orang Cina yang jelas, melalui bentuk pintu gerbang, tiang-tiang dan bumbungnya yang dibina seperti bentuk Pagoda. 

Selain itu, mengunjungi Masjid Muhammadiah, Ipoh, Perak yang reka bentuk bumbungnya bercirikan corak pokok buluh telah disesuaikan dengan motif bunga raya, bunga kebangsaan negara kita. 

Keindahan Islam ditonjolkan dalam temubual yang dijalankan oleh hos dengan beberapa orang mualaf dan mempelajari hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam. Antara yang ditemubual Abdul Hadi Ong, pelajar Kolej Sultan Ismail Petra, Kelantan yang berhasrat menjadi seorang ustaz apabila tamat pengajian beliau. 

Abdul Hadi suka menonton televisyen yang memaparkan program-program berunsur Islam, seperti Al Kulliyah dan Forum Perdana. Abdul Hadi sering mendengar seruan azan. Akhirnya, dia mula berminat secara mendalam dan memeluk Islam pada usia 17 tahun. 

Episod berikutnya memaparkan satu lagi cabang kesenian dan kebudayaan Cina yang dipraktikkan oleh masyarakat Cina Muslim di negara ini. 

Seni opera adalah hasil kesenian masyarakat Cina yang merupakan sebuah pementasan tradisional Cina. Persembahan kesenian tersebut dikenali sebagai 'Tukar Muka' atau 'Musk Changing'. Puan Aisyah Lee, berharap agar kesenian dan kebudayaan ini akan terus berkembang dalam masyarakat Cina Muslim.

Bercerita tentang adat pula, cara hidup orang-orang Cina yang masih dipraktikkan oleh masyarakat Cina Muslim di negara ini ialah 'Makan Besar'. Biasanya malam sebelum menyambut Tahun Baharu Cina, semua ahli keluarga akan berkumpul untuk 'makan besar' di meja bulat. 

Satu lagi adat yang masih diamalkan oleh masyarakat ini adalah memperkenalkan pengantin perempuan kepada ahli keluarga pengantin lelaki selepas berkahwin. Adat ini disebut sebagai 'Majlis Minum Teh'. Selain itu, pada satu tarikh dalam bulan Mei, masyarakat Cina Muslim akan menyambut Pesta Dragon Boat. 

Pada hari tersebut mereka akan makan sejenis kuih yang dinamakan 'bakcang'. Berdasarkan aktiviti masyarakat Cina Muslim di Malaysia, terbukti bahawa budaya dan adat masyarakat sememangnya mendasari kehidupan walaupun mereka telah memeluk agama Islam.

Episod terakhir temu bual pengacara dengan dua orang tokoh wanita Cina Muslim di Malaysia. Pertama, Datin Norhana Ng. Beliau telah memeluk agama Islam pada tahun 1984, ketika beliau berumur 26 tahun. 

Beliau merupakan Pengerusi Persatuan Cina Muslim (MACMA) Terengganu. Seorang lagi ikon wanita Cina Muslim yang ditemu bual oleh pengacara ialah Datin Norliza Hoo. Beliau seorang wanita yang berjaya dalam perniagaan makanan dan memiliki sebuah restoran Cina Muslim di Kota Bharu, Kelantan. 

Beliau berpesan kepada wanita yang sedang mempelajari Islam atau yang baru memeluk Islam agar bersabar menghadapi dugaan terutama halangan daripada keluarga dan berusahalah merapatkan hubungan dengan keluarga walaupun berbeza agama.



[KREDIT: RTM]

Tiada ulasan:

Catat Komen