3 Dis 2019

CALIPH BUSKERS TAMPILKAN MANUSIA


HAMPIR dua tahun berlalu semenjak melancarkan single ketiga ‘Buta’ pada penghujung 2017, kini kumpulan Caliph Buskers masih boleh berbangga dengan impak lagu tersebut apabila mereka mendapat pencalonan dua kategori di Anugerah Nasyid IKIM 2019 (AN19) yang bakal berlangsung pada 30 November nanti. 

Menerusi Buta, Caliph Buskers telah tercalon untuk kategori Anugerah Lagu Pilihan Pendengar dan Anugerah Artis Duo/Berkumpulan Pilihan. Penghujung tahun lalu, mereka muncul dengan lagu Hanya Mimpi yang  lalu, sebuah lagu yang menampilkan sisi berbeza kumpulan yang dianggotai lima individu orang kelainan upaya (OKU) yang cacat penglihatan ini. 

Terkini, kumpulan yang pernah popular dengan lagu Romancinta dan Hanya Namamu bakal muncul dengan single terbaharu mereka berjudul Manusia.

“Manusia merupakan ciptaan Omar K, Ikhwan Fatanna dan John Jeevasingham. Menerusi lagu terbaharu ini, Caliph Buskers sekali lagi mempertaruhkan konsep ketuhanan sebagaimana lagu-lagu popular mereka sebelum ini, Hanya Namamu dan Buta. 

Menyifatkan lagu Manusia ini seumpama makanan jiwa, penyanyi Azmi Saat berkata, 

“Ini bukan lagu nasyid, tapi lebih kepada pop ketuhanan. Lagu ini bercerita tentang penyesalan seorang insan  yang membelakangkan Yang Esa tatkala sibuk mengejar dunia. Kami berharap lagu ini mampu menyampaikan dakwah secara tidak langsung kerana lagu ini mampu melahirkan rasa insaf kepada yang benar-benar menghayatinya.  
"Kalau terlalu cintakan dunia, semuanya akan hilang atau mati akhirnya. Tetapi cinta kepada Yang Esa menjadikan hidup kita di  atas muka bumi  ini lebih bermakna.”

Single terbitan Warner Music Malaysia ini boleh didapati  di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music, bermula 29 November 2019 lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan