Hot Posts

6/recent/ticker-posts

APA SALAHKU, FASHA SANDHA


PELAKON baharu yang semakin meningkat naik, Nafiz Muaz mempunyai masalah disiplin? Katanya, masalah itu berpunca daripada ibunya yang kurang memberi perhatian kepadanya. Ternyata, pentingnya perhatian ibu bapa dalam membentuk peribadi anak-anak. 

Tetapi kepada para peminat Nafiz, jangan risau. Nafiz Muaz tidak terlibat dengan sebarang masalah sebaliknya itu hanyalah watak lakonan terbaharunya sebagai pelakon utama dalam drama Semua Salahku yang telah mula bersiaran pada 11 Julai lalu di slot Lestary. 

Nafiz yang memegang watak Haris seorang remaja yang memberontak apabila ibunya, Sofea lakonan Fasha  Sandha mula mengabaikan dirinya kerana terlalu sibuk mengejar lelaki kaya dan mahu hidup senang. 




Ketika Haris (Nafiz Muaz) masih kecil, bapanya meninggal dunia tanpa meninggalkan sebarang harta menyebabkan ibunya, Sofea (Fasha Sandha) terbeban kerana terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan pendapatan. 

Bagi menambah pendapatan, Fatimah (Fauziah Nawi) ibu Sofea mencadangkan Sofea untuk memasuki kelas solekan.  Sofea mula berkecimpung dalam bidang solekan dan sedikit sebanyak telah membantu menambah pendapatan Sofea. 

Malangnya, kasih sayang dan keperluan Haris mula terabai apabila Sofea berkahwin dengan Iqbal. Namun perkahwinan itu tidak bertahan lama apabila Iqbal terlibat dalam kemalangan dan menyebabkan Sofea kehilangan wang simpanannya. 

Tertekan dengan kehilangan wang, Sofea mengurangkan wang belanja Haris dan juga perbelanjaan di rumah. Sofea tidak mahu berterusan hidup susah dan menghabiskan wangnya untuk pergi ke Spa demi untuk menjaga penampilannya agar dapat mencari lelaki kaya. 




Haris yang dahulunya seorang pelajar cemerlang mula terlibat dengan masalah disiplin dan prestasinya semakin merosot kerana sering diabaikan Sofea. Haris mula bergaul dengan Naim, seorang mat rempit yang terlibat dalam kegiatan merompak kerana dia mahu memenuhi kehendak Mira (Intan Najuwa) gadis yang diminatinya.

Adakah Haris, pelajar cemerlang akan terus tersasar jauh daripada landasan kebaikan dek terabai oleh kasih sayang seorang ibu? Adakah Sofea akan tersedar daripada angan-angannya? 

Jangan lupa tonton 13 episod drama arahan Along Kamaludin ini yang turut dibarisi pelakon hebat Fauziah Nawi, Intan Najuwa, NafiezZaidi, Neera Azizi, Dayang Areeda, Syed Aiman, Adiba Yunus dan ramai lagi setiap Rabu hingga Jumaat, jam 9.00 malam hanya di TV3!



APA SALAHKU
Bahasa: Melayu
Episod: 13      
Hari: Setiap Rabu hingga Jumaat (Mulai 11 Julai) 
Masa: 9 Malam 
Saluran: TV3     
Arahan: Along Kamaludin 
Pelakon: Fasha Sandha, Nafiz Muaz, Fauziah Nawi, Intan Najuwa, NafiezZaidi, Neera Azizi, Dayang Areeda, Syed Aiman, Adiba Yunus.



[KREDIT: Media Prima/TV3]

Post a Comment

0 Comments