20 Nov 2018

GABUNGAN 9 KOLEKSI TERUNGGUL KOIR KEBANGSAAN MALAYSIA


ARENA muzik koral meskipun kewujudannya sudah lama dan secara aktif digiatkan namun, sebahagian besar masyarakat negara ini belum begitu memahami kepentingannya terhadap industri seni sekali gus memandang persembahan koir sebagai satu wadah hiburan yang kreatif, bernilai, serius dan intelektual.

Menyedari usaha menggerakkannya secara komersil serta tidak bersifat eksklusif dan ‘skema’ maka usaha ‘merakyatkan koir’ telah dijalankan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) secara aktif dan meluas. 

Justeru sebuah persembahan khas dinamakan ‘9 Koleksi Terunggul’ diadaptasi melalui gabungan sembilan Konsert Koir Kebangsaan yang telah dipentaskan bermula pada tahun 2009 sehingga 2017. 

Konsert pada tahun ini adalah untuk melestarikan muzik koral tempatan ke peringkat tertinggi melalui gabungan lagu-lagu popular tempatan dan luar negara melalui pemilihan karya-karya lagu terbaik susunan komposer tempatan dan antarabangsa yang mendapat tempat di hati masyarakat.



9 Koleksi Terunggul juga bertujuan untuk memperkenalkan dan mempromosikan Koir Kebangsaan kepada masyarakat dan memperluaskan produk baru Koir Kebangsaan Malaysia. Konsert ini adalah lambang kejayaan Siri Konsert Koir Kebangsaan Malaysia dan Jelajah Koir sejak 2005. 

Konsert Koir Kebangsaan Malaysia 2018 akan membawa kelainan dan mendendangkan lagu-lagu terpilih dalam siri KKM yang pernah dipentaskan bermula pada tahun 2009 sehingga 2017 seperti In Love With Peace (2009, 2010, 2011), Dir (2010, 2012), No Wrong Notes (2011), Kembara Muzikal Teater & Filem (2013), Classique (2014), In Love With Rock (2015), 4th Bali International  Choir Festival (2015), Wajah (2016) dan WARNA (2017).

Gabungan ‘9 Koleksi Terunggul’ yang telah dipentaskan sebelum ini adalah demi menyahut pemintaan para peminat dan mengimbau kembali kejayaan dan pencapaian kumpulan Koir Kebangsaan Malaysia (KKM) yang telah menempa nama di dalam dan luar negara sebaris dengan kumpulan koir negara-negara lain. 

Koir Kebangsaan telah mengadakan konsert yang merangkumi genre yang utama seperti classical, broadway, tradisional, jazz, pop dan rock maka kali ini, satu kelainan baru akan terhasil menerusi Konsert ‘9 Koleksi Terunggul’ iaitu karya dan lagu-lagu yang terpilih sahaja yang akan dinyanyikan oleh KKM. 

KKM yang merupakan produk Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara akan menampilkan 21 lagu popular tempatan, Hindi dan Luar Negara melalui alunan suara 21 orang ahli Koir Kebangsaan Malaysia di bawah pimpinan Datuk Syafinaz Selamat melalui gubahan persembahan berentak acapella, rock, pop, pop rock, jazz, balada, tradisional, Latin dan Hindi.




Konsert Koir Kebangsaan Malaysia 2018 akan dimulakan dengan persembahan pembukaan ‘Mek Mulung Cycle’ yang akan dipersembahkan oleh Datuk Syafinaz Selamat bergandingan dengan Shamsun Nadia (Puteri) dari Kumpulan Kesenian JKKN bersama gabungan dayang-dayang yang merupakan ahli koir kebangsaaan dan Kumpulan Kesenian JKKN.

Sebanyak 21 buah lagu dipilih dan digubah kepada pelbagai muzik secara harmoni melalui segmen pertama iaitu 12 buah Mek Mulong, Iboq, Jong Jong Inai, Azizah,  3 lagu Inspiration Medley, Matona Mia Cara, La Cucaracha, Kopi Dangdut, Toyol dan The Phantom of The Opera. 

Manakala segmen ketiga 9 lagu iaitu Hindi dengan mengambil Shahrukh Khan Blockbuster Medley iaitu Kuch Kuch Hota Hai, Dil To Pagal Hai, Bole Chudiyan. Selain itu lagu Mandarin Yue Liang Dai Biao Wo De Xin turut dinyanyikan diikuti Salam Terakhir, Bring Me to Life, Bohemian Rhapsody, Ali Baba Medley dan Balleilakka.

Datuk Syafinaz Selamat selaku Pengarah Artistik, Persembahan dan Vokal membuat pelbagai improvisasi dalam membentuk nyanyian koir untuk menjadikan nyanyian koir menerusi Konsert 9 Koleksi Terunggul ini lebih menarik. Membabitkan seramai 21 orang ahli koir, konsert ini akan dibahagikan kepada tiga segmen dan diadakan dengan menggunakan muzik iringan secara minus one selama 2 jam termasuk interval.




Konsert ini dipimpin oleh Datuk Syafinaz Selamat sendiri dengan dibantu oleh Tunku Marina Tunku Dato’ Zubir sebagai Pengarah Koir manakala konduktor Koir ialah Lilis Syafiza Yatim dan dibantu oleh Azahar Abdullah sebagai Penolong Konduktor. 

Bagi mengenang jasa dan sumbangan Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain dalam bidang Seni Muzik Tradisional dan Irama Malaysia, JKKN dan RTM akan menampilkan segmen khas “Pak Ngah Dalam Kenangan” menerusi segmen kedua melalui lagu-lagu popular hasil karya sebagai komposer dan penulis lirik pertama yang layak dalam kategori Irama Malaysia apabila tiga lagunya dipertandingkan menerusi Anugerah Juara Lagu 1999. 

Persembahan khas ini akan menampilkan Permata Seni Tari yang akan menarikan lagu Hati Kama, Cindai dan Dikir Puteri manakala Nyanyian Lagu Tinting, Dondang Dendang yang akan dinyanyikan oleh Alif dan Wawa, Penyanyi Kumpulan Kesenian Jabatan, JKKN. 

Bertitik-tolak daripada usaha yang dijalankan secara tidak langsung Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM), mampu meningkatkan lagi apresiasi terhadap seni koir serta mewujudkan masyarakat yang kreatif. 




Bukan sekadar sebuah persembahan, jenama Konsert 9 Koleksi Terunggul ini juga mempunyai potensi untuk dikembangkan sebagai produk Koir Kebangsaan Malaysia.

“Sepanjang persembahan koir pada malam itu, kami menggunakan perkhidmatan pemuzik professional, tenaga pengajar dan pembantu koir dari pelbagai peringkat bagi melancarkan lagi Konsert Koir Kebangsaan : 9 Koleksi Terunggul pada tahun ini. Di samping itu Datuk Syafinaz Selamat juga merupakan pengarah vokal dan penasihat kami yang akan memantau nyanyian serta persembahan koir”. 

Menurut Ketua Pengarah JKKN, Tan Sri Norliza Rofli, pada konsert itu, KKM juga telah banyak berjaya mengharumkan nama negara sebelum ini dalam pelbagai pertandingan yang dianjurkan di peringkat Internasional dan Asian seperti memenangi tiga pingat emas dan juara bagi kategori Vokal Berkumpulan, Koir Campuran dan Championship Berkumpulan serta layak ke Grand Prix Festival Koir Kebangsan Bali ke-4 bersama 12 kumpulan lain daripada 128 penyertaan pada tahun 2015.

“Dalam kerancakan banyak pihak luar menganjurkan pelbagai konsert artis luar, JKKN dan RTM sebaliknya mengiktiraf bakat-bakat tanah air dengan menyediakan landasan untuk mereka mempersembahkan hasil karya bermutu untuk dikongsi dan dihayati bersama. Program ini satu lagi usaha JKKN dalam menyemarakkan industri seni suara tanahair,” kata Tan Sri Norliza Rofli lagi.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia sentiasa peka mencari inisiatif untuk memberi nilai tambah, pembaharuan ke arah transformasi dan menjadi pemangkin kepada perkembangan seni budaya tanahair melalui usaha menyokong produk pelancongan budaya sebegini.


[KREDIT: JKKN]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan