28 Apr 2018

TOP 6 KELEBIHAN PELIHARA KUCING DARI SUDUT SAINS


TERDAPAT banyak kebaikan yang diperolehi apabila kita membela kucing. Ia memberi kesan kepada banyak aspek kehidupan manusia seperti kesihatan fizikal, kesihatan mental, cara hidup dan sebagainya.



1. Dapat Membuang Sifat Pentingkan Diri Sendiri Dan Kedekut Dalam Diri Manusia

Membela kucing mengajar kita untuk berkongsi rezeki tidak kira makanan, minuman, tempat tinggal dan khususnya kasih sayang. Sifat berkongsi dengan makhluk comel ini akan menjadikan kita seorang manusia yang pemurah dan baik hati.




2. Menjadi Terapi Emosi Yang Sangat Baik

Satu kajian oleh universiti di Columbia mendapati aktiviti bersama haiwan kesayangan anda terutama kucing dapat meningkatkan Hormon Serotonin dalam badan anda. Ia berfungsi untuk mengawal mood, mengurangkan emosi negatif dan membuatkan seseorang menjadi lebih bahagia. 

Sekaligus, dapat mengurangkan tekanan perasaan dan kesunyian dalam diri manusia. Kajian juga mendapati mereka yang berada dalam kemurungan boleh sembuh dengan berinteraksi dengan kucing.




3. Dapat Membantu Pesakit-Pesakit Autism

Membela kucing benar-benar membantu dalam kes penyakit ini. Hal ini dibuktikan dengan beberapa kejadian di mana kucing memainkan peranan penting dan menjadi pembantu utama dalam terapi untuk anak-anak autism yang mempunyai kesukaran untuk berkomunikasi.




4. Menurunkan Risiko Penyakit Kardiovaskular dan Serangan Jantung

Aktiviti dengan kucing dapat merendahkan rembesan kimia bernama cortisol di dalam badan. Kadar cortisol yang tinggi akan meningkatkan tahap kolestrol dan tekanan darah. Risiko untuk meninggal dunia akibat penyakit kardiovaskular bagi mereka yang mempunyai kucing adalah 30 hingga 40 peratus lebih rendah berbanding mereka yang tidak mempunyai kucing. 

Tambahan lagi, risiko untuk seorang pemilik kucing meninggal akibat serangan jantung adalah sangat rendah.



5. Mendisiplinkan Diri dan Membentuk Sifat Bertanggungjawab

Kucing harus diberi makan dengan teratur. Jadi tuan kucing mesti tahu bila dan berapa jumlah makanan yang perlu diberikan kepada kucing-kucingnya. Bila kucing dijaga dari kecil, corak pemakanan yang berbeza juga perlu diperhatikan. 

Selain makan, banyak lagi perkara yang perlu diambil perhatian seperti imunisasi kucing, jadual makan ubat, temujanji doktor, mandi kucing, menyikat bulu, melatih kucing untuk membuang najis di tempat yang disediakan dan sebagainya. Pemilik kucing harus bertanggungjawab dengan tindakan kucingnya dan tahu menghormati hak jiran tetangga.




6. Mendapat Pahala dan Dimurahkan Rezeki

Selain itu, membela kucing juga sebagai cara untuk kita menuai ganjaran pahala daripada Allah SWT kelak. Apabila pemilik kucing mempunyai niat sedekah ketika membela kucing-kucingnya maka ganjaran sedekah akan kembali kepada pemilik kucing tersebut. 

Kucing adalah haiwan yang memiliki perasaan yang dizahirkan dengan cara yang tersendiri. Kucing antara haiwan yang boleh mengadu dan berdoa kepada Allah SWT dan barangkali kehidupan kita menjadi lebih senang dan gembira dek kerana doa seekor kucing begitu juga sebaliknya hidup kita dirundum kesedihan dan kesusahan dek kerana aduan seekor kucing kepada Allah SWT atas layanan buruk yang diterima.


Di antara semua haiwan yang ada di muka bumi ini, haiwan yang paling disukai oleh Rasulullah SAW adalah kucing. Begitu juga salah seorang sahabat Baginda yang mendapat gelaran Abu Hurairah hanya kerana selalu dilihat membawa seekor anak kucing dalam lengan jubahnya kemanapun ia pergi dan sifat penyayang terhadap haiwan tersebut.

Dari Abdullah bin Umar, ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
Seorang wanita diseksa kerana mengurung seekor kucing sampai mati. Kemudian wanita itu masuk neraka kerananya, iaitu kerana ketika mengurungnya ia tidak memberinya makan dan tidak pula memberinya minum sebagaimana ia tidak juga melepasnya mencari makan dari serangga-serangga tanah (HR.Muslim). 


[KREDIT SUMBER: www.etaksalai.com]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan