1 Mac 2018

HELLO DOKTOR, YASMIN HANI BINCANG ISU KEIBUBAPAAN


SEIRING dengan perubahan zaman, ibu bapa masa kini berdepan dengan pelbagai cabaran dalam membesarkan dan mendidik anak-anak mereka. 

Bagaimanakah ibu bapa mengawal anak-anak tanpa membuatkan mereka rasa dikongkong kerana perkembangan berlaku sangat pantas dalam zaman teknologi maklumat sekarang? 

Berkonsepkan santai dan ceria, program bual bicara terbaharu di TV3, Helo Doktor menampilkan  seorang selebriti popular dan ibu muda, Yasmin Hani sebagai hos untuk berkongsi ilmu keibubapaan dengan pakar-pakar dan pasangan selebriti sepanjang 10 episod, bersiaran secara langsung dari Studio 1, Glenmarie pada setiap hari Jumaat, pukul 11.30 pagi bermula 2 Mac 2018. 

Helo Doktor membincangkan topik yang berlainan pada setiap episod dengan tetamu - tetamu undangannya. Episod pertama menampilkan seorang pakar keluarga & kasih sayang iaitu Profesor Dr. Rozieta Shaary ataupun lebih mesra dengan panggilan sebagai Ibu Ros, dan Yana Samsudin sebagai tetamu. 

Mereka membincangkan topik ‘Anak-anak di Media Sosial’ dengan mengenal pasti faktor dan masalah berkaitan pengeksploitasian anak-anak di media sosial oleh ibu bapa dan anak-anak sendiri yang kini cenderung menyalahgunakan media sosial seterusnya memberikan nasihat dan penyelesaian terbaik. 

Episod kedua pula menjemput Pakar Psikologi Klinikal Kanak-kanak merangkap Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan, Universiti Malaya, Dr. Noor Aishah Rosli dan Sazzy Falak untuk topik ‘Kecil-Kecil Dah Stress’. Aktiviti anak-anak hari ini yang begitu padat mungkin menjadi salah satu sebab mereka terlepas peluang untuk menikmati zaman kanak-kanak. Adakah ia keperluan atau sekadar obsesi ibu bapa semata-mata? 

Ketika Helo Doktor bersiaran langsung, penonton boleh membuat panggilan telefon ke studio untuk bertanya kepada pakar kekeluargaan. Pada setiap hari Khamis sebelum episod baharu bersiaran pada keesokan harinya, laman Facebook TV3 Malaysia akan memuat naik poster yang menguar-uarkan tajuk minggu itu. Penonton juga digalakkan berkongsi pendapat ataupun membuat pertanyaan di situ. 

Seterusnya, Helo Doktor akan membincangkan isu-isu menarik seperti perbezaan antara sentuhan kasih dan sentuhan berbahaya, anak-anak syurga, ibu bapa tunggal, anak-anak cerewet dalam pemakanan dan kepentingan ibu bapa untuk bijak menangani tekanan. 



Helo Doktor
Episod: 10
Hari: Jumaat
Masa: 11.30 pagi
Saluran: TV3
Pengacara: Yasmin Hani

Tiada ulasan:

Catat Komen