3 Mac 2018

BILA DOKTOR ALA MODEL RAWAT PESAKIT


MEDICAL Top Team mengangkat kisah sekumpulan doktor yang dianggap terbaik dalam bidang mereka disatukan dalam satu kumpulan perubatan elit di Hospital Universiti Gwang Hae. Berjuang untuk memastikan keajaiban berlaku dalam usaha merawat pesakit mereka. 

Drama bersiri Korea ini sedang bersiaran mengisi slot Kristal di TV2, setiap Ahad hingga Selasa, pukul 8.35 malam. Penonton pastinya akan teruja dan berdebar menyaksikan aksi sekumpulan doktor dalam misi menyelamatkan pesakit mereka. 

Siri 28 episod ini membariskan pelakon terkenal Korea termasuklah Kwon Sang-woo, Jung Ryeo-won, Ju Ji-hoon, Oh Yeon-seo, dan Choi Minho. Kisahnya berkembang dengan watak utama Park Tae-shin, seorang doktor yang berbakat bekerja secara sukarela di Hospital Paran. 

Disebabkan tidak mampu menjelaskan hutang tertunggak, Hospital Paran terpaksa ditutup. Bagi menyelamatkan Hospital Paran, Park Tae-shin harus menerima tawaran untuk menyertai program Medical Top Team di Hospital Universiti Gwang Hae.

Sementara itu, Seo Joo-young akan melakukan pembedahan pada seorang kanak-kanak bernama Ba-wi tetapi dipanggil untuk melakukan pembedahan kecemasan pada seorang menteri. Park Tae-shin ingin menggantikan Seo Joo-young tetapi dihalang oleh Han Seung-jae. 

Dia seterusnya membantu dalam operasi pembedahan menteri tersebut bersama-sama dengan Seo Joo-young dan Han Seung-jae. Pembedahan itu berjaya dan semua berterima kasih sambil memuji Park Tae-shin.

Setelah diteliti senarai calon yang akan menyertai Top Team, calon yang layak sudah ditetapkan, tetapi Seo Joo-young cuba untuk membatalkan permohonannya. Sementara itu, seorang pesakit baru dengan keadaan yang serius datang tetapi enggan dirawat oleh Top Team. 

Top Team akhirnya akan ditubuhkan secara rasmi dan upacara rasmi akan diadakan di hospital bagi memperkenalkan barisan doktor yang sudah dipilih untuk menyertai Top Team. Seo Joo-young harus memutuskan sama ada dia mahu menyertai Top Team atau tidak. 

Belum sempat untuk meraikan penubuhan Top Team, mereka dikejutkan dengan berita keadaan seorang pesakit mereka yang sedang kritikal. Park Tae-shin dan rakan sepasukannya bergegas pergi merawat pesakit itu. Dia berjaya menstabilkan keadaan pesakit itu. Namun, Top Team masih belum mendapat jawapan mengapa pesakit itu masih tidak sedarkan diri. 

Belum selesai satu masalah, Top Team dikejutkan lagi dengan keadaan Ba-wi yang semakin teruk. Ba-wi perlu menjalani pemindahan paru-paru daripada penderma hidup tetapi pihak hospital menentangnya kerana prosedur tersebut belum pernah dijalankan di situ. 

Akhirnya Han Seung-jae setuju untuk pembedahan pemindahan paru-paru yang dicadangkan oleh Park Tae-shin. Pembedahan yang dilakukan oleh Top Team berjaya tetapi mereka mendapati ada jangkitan di jantung Bawee. 



Medical Top Team
Episod: 28
Hari: Ahad hingga Selasa
Masa: 8.30 malam
Saluran: TV2 
Pelakon: Kwon Sang-woo, Jung Ryeo-won, Ju Ji-hoon, Oh Yeon-seo, Choi Minho

Tiada ulasan:

Catat Komen