8 Feb 2018

PANAS BARAN EMAN MANAN, DAN KESABARAN EJA


MASALAH keganasan dan panas baran seorang lelaki yang didera oleh bapanya semasa beliau kecil realitinya berlaku dalam masyarakat kita. 

Kisah seorang kanak kanak yang sering dipukul oleh bapanya kerana nakal, menjadi seorang garang dan panas baran apabila dewasa. Disamping menghadapi kesukaran hidup dalam masyarakat kampungnya, beliau juga sering memukul isteri dan anaknya. 

Namun anak perempuan remaja itu memberanikan diri untuk menegur perangai bapanya yang tidak dapat diterima. Akhirnya beliau sendiri menjadi mangsa kelakuan panas barannya, apabila terpijak sebuah dulang besar mengandungi minyak panas semasa mahu memukul anaknya.

Menampilkan gandingan mantap pelakon utama berpengalaman iaitu Eman Manan, Eja, Izara Aisyah, Rahim Jailani, Namron dan Izzue Islam, telemovie arahan Bade Haji Azmi bertajuk 'Rantai' ini disiarkan mengisi slot Citra di TV2 pada 9 Februari ini, pukul 10.00 malam.



Ia menyorot kisah Zaleha yang terpaksa menanggung penderitaan akibat penderaan mental dan fizikal ekoran dari sikap panas baran Hussin yang sentiasa kesempitan duit akibat suka berpoya-poya dan berjudi. 

Zaleha juga menanggung malu dengan kegiatan Hussin yang menyeludup rokok dari seberang. Bagaimanapun dia tetap bersabar kerana Husin permah mengugut untuk menghalau dia dan anaknya, Ain yang masih menuntut di IPTA apabila Zaleha meluahkan apa yang terbuku di hatinya.

Walaupun Zaleha akur dengan segala tindakan Hussin, berlainan pula dengan Ain. Dia tidak sampai hati melihat Zaleha berterusan menjadi mangsa Hussin dan setiap kali pulang bercuti, Ain cuba menyedarkan Hussin tentang perbuatannya. 

Justeru, sering berlaku pertengkaran antara keduanya. Ain turut mendesak ibunya meninggalkan rumah dan tinggal bersamanya di bandar. Bagaimanapun Zaleha menolaknya dan mahu Ain menamatkan pengajiannya dahulu. 




Ain berkenalan dengan Faizal yang baru ditukarkan mengajar di sekolah di kampungnya. Perkenalan tanpa sengaja mereka bermula bila Faizal membantu membetulkan rantai basikal Ain yang tertanggal. 

Situasi itu menimbulkan kemarahan Hussin namun tidak bagi Faizal yang mahu mengenali dengan lebih dekat keluarga Ain. Setelah mengetahui apa yang berlaku, Faizal rasa simpati dan mahu membantu Ain.

Satu hati Hussin bertindak di luar kewarasan merampas rantai pusaka milik Zaleha. Zaleha berusaha mempertahankan rantai itu yang mahu digunakan untuk persediaan membiayai kos pengajian Ain. 

Ain menentang tindakan Hussin yang membuatkan lelaki itu hilang sabar lalu menghalaunya. Ain risau memikirkan nasib ibunya.




Kemuncak kemarahan Hussin apabila mendapati Faizal adalah anak kepada Bakar, lelaki yang pernah menghilangkan diri 25 tahun lalu dan tiba-tiba kembali ke kampung bersama anaknya, Faizal. Apatahlagi Bakar merupakan bekas tunangan Zaleha.

20 tahun dahulu Bakar pernah mencintai Zaleha dan mereka ditunangkan. Bagaimanapun Hussin yang terkenal dengan sikap samseng di kampung mereka mengugut akan mencederakan Bakar jika Zaleha enggan berkahwin dengannya. Zaleha akur demi keselamatan Bakar dan Bakar yang kecewa melarikan diri dari kampung. 

Ain yang tidak sanggup berdepan dengan sikap Hussin nekad untuk keluar dari rumah dan meminta bantuan Faizal. Malangnya mereka berjaya dikesan oleh Hussin. Hussin memukul Faizal dan Bakar.

Hussin masih tidak berpuas hati lalu bergegas pulang untuk melepaskan geramnya pada Ain. Ketika itu di rumah, Ain dan Zaleha sedang menggoreng kerepek yang ditempah oleh pengedar. Hussin yang balik dalam keadaan marah cuba memukul Ain dan Zaleha dengan rantai tetapi malangnya dia tergelincir dan tersembam dalam kuali minyak panas.



Telemovie Rantai
Tarikh Siaran: 9 Februari 2018
Hari: Jumaat
Masa: 10.00 Malam 
Saluran: TV2
Arahan: Bade Hj Azmi
Pelakon: Eman Manan, Eja, Izara Aisyah, Rahim Jailani, Namron dan Izzue Islam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan