RTM berkongsi dengan penonton setia salurannya program travelog terbaru berkonsepkan pengembaraan motosikal berkuasa tinggi oleh seorang Ustaz ‘Rider’ menjejaki sejarah masjid-masjid yang terpilih di Malaysia.
Menerusi program 'Ustaz Biker' yang sedang bersiaran setiap Khamis, pukul 10.00 malam di TV1, Ustaz Halim Hafidz selaku hos program akan mengembara ke masjid-masjid terpilih di seluruh Malaysia dengan menaiki motosikal berkuasa tinggi dan bertemu dengan individu tertentu untuk ditemu ramah.
Konsep yang diamalkan adalah secara ‘santai tapi sampai’ dan antara aspek yang dipaparkan ialah berkaitan sejarah serta aktiviti masjid tersebut.
Program 13 episod ini antaranya membawa penonton menjelajah negeri Johor bersama Ustaz Halim Hafidz yang mengembara dari Kuala Lumpur dengan menaiki motorsikal berkuasa tinggi untuk beribadah dan berdakwah secara santai.
3 DESTINASI UTAMA USTAZ HALIM
Batu Pahat
Masjid Sultan Ibrahim
Ustaz Halim merasai pengalaman sambutan Majlis Haul Habib Ali Bin Jaafar Al-Idrus yang diadakan pada hari tersebut.
Aktiviti diteruskan dengan riadah dan sesi soal jawab bersama ‘geng anak muda’ di Dataran Penggaram. Episod ini diakhiri dengan trivia berkenaan solat sunat musafir.
Lokasi lain: Pantai Minyak Beku, Perigi Batu Pahat, Nasi Beriani Gam serta Dataran Penggaram.
Pagoh
Masjid Sultan Alaudin Riayat Syah
Ustaz Halim menyertai aktiviti gotong royong memasak bubur lambuk yang kebetulan diadakan pada hari tersebut. Seterusnya mengikuti aktiviti lain termasuk mengadakan Kursus Pengurusan Jenazah yang diadakan oleh persatuan belia kampung.
Beliau kemudiannya melawat Makam Sultan Alaudin Riayat Syah di dalam kawasan masjid tersebut. Ustaz Halim mengakhiri episod dengan sedikit perkongsian ilmu tentang solat jamak.
Lokasi lain: Kolam Air Panas Gersik, Ladang Herba Nasuha dan Kg. Sarang Buaya.
Bandar Tenggara
Masjid Al-Husna
Ustaz Halim disambut oleh beberapa orang jemaah masjid termasuk imam muda masjid iaitu Imam Saufi yang berusia 26 tahun. Beliau berkongsi pelbagai maklumat tentang masjid yang dibina oleh KEJORA pada tahun 1965.
Di sini Ustaz Halim berpeluang menghadiri majlis bacaan Yassin yang diadakan pada setiap malam Jumaat serta jamuan nasi ambeng selepas selesai majlis Yassin.
Ustaz Halim mengakhiri rancangan dengan pesanan agar mencontohi sifat air yang mengalir iaitu positif dan tegar dalam kehidupan.
Lokasi lain: Gerai tembikar Air Hitam, Muzium Kota Lama dan Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi.
Ustaz Biker
Episod:13
Hari: Khamis
Masa: 10.00 malam
Saluran: TV1
Pengacara: Ustaz Halim Hafidz
0 Comments