1 Mac 2017

ARY MALIK DALAM KENANGAN (1971-2017)


PELAKON dan personaliti TV, Ary Malik sememangnya terkenal dengan sikapnya yang merendah diri dan mudah tersenyum. Tidak kiralah di kalangan teman-teman rapatnya mahupun ketika bertentang mata dengan mereka yang tidak dikenalinya.

Senyuman manisnya itu tetap lekat di ingatan sesiapa sahaja yang pernah menyapa wajahnya sama ada bertentang mata, mahupun hanya di kaca TV. Yaa.. senyuman itu!

Ary atau nama lengkapnya Nurita Maliha Aryanee Malik, adalah kakak kepada penyanyi Flora Cinta, Min Malik, merupakan seorang pengacara dan dan personaliti TV yang sangat petah berbicara.

Dia kelihatan sentiasa bersedia dan penuh yakin dengan setiap butir bicara yang dituturkannya menjadikan program yang dikendalikannya itu mudah menarik perhatian ramai.

Antara yang pernah mempopularkan dirinya adalah program MTV, di mana Ary diberi tanggungjawab untuk mengacarakan program itu untuk beberapa musim.

Begitu juga dengan program Muzik-Muzik yang menyaksikan Ary berjaya menarik penonton untuk terus kekal bersama program ini bukan hanya kerana lagu-lagu yang tercalon, tetapi juga kerana 
kelebihan yang ada pada dirinya sebagai pengacara.



Sementara dalam bidang lakonan, meski tidak begitu melonjakkan namanya berbanding bidang pengacaraan, Ary tetap punya tarikannya menerusi lakonan berkesan yang dipersembahkannya. Antara drama lakonannya ialah Kolej (drama usahasama Malaysia-Indonesia).

Beberapa tahun lalu, Ary dan keluarga menetap di Singapura dan aktif sebagai penerbit program TV di bawah syarikat penerbitan suaminya singapura selama  lebih lima tahun.

Sekitar tahun 2012, Ary kembali ke tanah air dan kemudiannya menyertai program realiti TV Masterchef Malaysia.

Lebih setahun yang lalu, wanita yang sangat pemurah dengan senyuman ini disahkan mengidap penyakit Kanser Ovari tahap empat selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di perutnya sekitar Jun 2016 di Hospital Angkatan Tentera Sultan Mizan, Wangsa Maju.

Semenjak itu, Ary melalui rawatan kimoterapi secara berterusan sehingga 18 Februari lalu, dia dimasukkan ke Hospital Ampang kerana keadaan kesihatan yang semakin merosot.

Selepas 10 hari bertarung, Ary yang kita kasihi telah pergi buat selama-lamanya. 28 Februari 2017, jam 7.17 malam, dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Semoga Ary tenang di dunia abadi dan sama-samalah kita hadiahkan AlFatihah serta mendoakan yang terbaik buatnya di sana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan