‘Bad Cop’ Versi Malaysia: Adaptasi Antarabangsa dengan Identiti Lokal


SELEPAS mencipta fenomena menerusi Generasi: Perfect 10, Astro Originals kembali dengan sebuah siri premium terbaharu berjudul Bad Cop, adaptasi daripada siri jenayah popular Jerman yang pertama kali ditayangkan pada tahun 2017.

Kejayaan siri asal ini di peringkat antarabangsa termasuk versi adaptasi India pada 2024 menjadi asas kukuh kepada penghasilan Bad Cop versi Malaysia yang tampil dengan identiti lokal serta penceritaan lebih dekat dengan realiti penonton tempatan.

Bad Cop bakal menemui penonton bermula 19 Disember ini dan boleh ditonton setiap Jumaat, jam 12 tengah malam di platform OnDemand serta sooka. Selain itu, siri ini turut disiarkan di Astro Citra (Saluran 108) setiap Jumaat jam 9 malam dan di Astro Ria (Saluran 104) pada setiap Sabtu jam 10.30 malam, menjadikannya antara naskhah utama hujung minggu di bawah payung Astro Originals.

Untuk versi tempatan, siri ini diterajui oleh Aiman Hakim yang mencabar keupayaan lakonannya dengan membawa dua watak berbeza iaitu protagonis dan antagonis dalam satu naskhah. Ini menandakan antara peranan paling signifikan dalam kerjayanya setakat ini.

Barisan pelakon turut diperkuatkan dengan kehadiran nama-nama seperti Siti Saleha, Harvinth Skin, Razib Salimin, Tony Eusoff, Whulandary Herman, Melissa Campbell dan Alvin Wong, selain penampilan istimewa bintang jemputan popular dalam setiap episod.

Pendekatan penceritaan case-of-the-week menjadi tunjang utama siri ini, dengan lapan episod yang masing-masing mengetengahkan kes baharu dan isu sosial berbeza.

Antara tema yang disentuh termasuk penipuan identiti, marginalisasi komuniti luar bandar, tekanan sosial lelaki moden serta penderaan rumah tangga  menjadikan Bad Cop lebih daripada sekadar drama kepolisan biasa.

Identiti Lokal, Sentuhan Premium

Diterbitkan oleh Astro Shaw, Bad Cop digerakkan oleh showrunner Kavivarmen Vigneswaran dan diarahkan oleh Jason Chong, pengarah berpengalaman yang sebelum ini mengemudi siri premium Liar. Gabungan ini membawa pendekatan visual serta penceritaan yang konsisten dengan identiti premium Astro Originals.

Dari segi naratif, naskhah ini mengisahkan Emir Khalid, seorang penjenayah yang bertembung semula dengan kembarnya yang telah lama terpisah, Imar, seorang inspektor polis. Pertemuan yang sarat emosi ini bertukar tragedi apabila Imar ditembak dan menyerahkan identiti polisnya kepada Emir sebagai satu-satunya jalan untuk melarikan diri, namun dengan syarat tersendiri.

Janji yang ditinggalkan menjadi titik permulaan kepada konflik moral, identiti dan keadilan yang menggerakkan keseluruhan siri.

Menurut Penerbit Eksekutif Bad Cop merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, siri ini mencerminkan komitmen berterusan Astro Originals dalam menawarkan kandungan premium dengan naratif berimpak tinggi.

"Kami yakin naratif siri ini akan mendapat tempat di hati penonton Malaysia kerana cerita kepolisan sememangnya dekat dengan penonton tempatan, dan suntikan elemen lokal menjadikan adaptasi ini lebih relevan, autentik dan mudah dihayati. 

"Kami berharap Bad Cop mampu menetapkan standard baharu bagi premium siri tempatan, sekali gus meneruskan legasi kejayaannya di Jerman dan India,” katanya.



Selain kekuatan penceritaan, siri ini turut mendapat sokongan kolaborasi strategik bersama Goodday Charge. Kerjasama ini melangkaui penajaan tradisional, sebaliknya dibina atas konsep penceritaan yang menghubungkan nilai jenama dengan dunia premium Astro Originals.

Selain Bad Cop, Goodday Charge turut terlibat dalam empat lagi judul premium sepanjang 2025 iaitu One Cent Thief, First Wives, Honey Trap dan Generasi: Perfect 10.

Naib Presiden Pemasaran Etika Goodday Charge, Amy Gan, menyifatkan kolaborasi ini sebagai platform untuk meraikan kekuatan dalaman, keberanian, disiplin dan integriti selari dengan mesej jenama mereka, 'Memang Ada Yang Hebat, Sehingga Munculnya Yang Terhebat'.

Melalui penceritaan yang melangkaui hiburan semata-mata, nilai-nilai ini diterjemahkan sebagai refleksi semangat dan daya tahan rakyat Malaysia.

Dua episod pertama Bad Cop boleh disaksikan mulai 19 Disember ini di OnDemand dan sooka. Siri ini seterusnya ditayangkan setiap Jumaat bermula jam 12 tengah malam di OnDemand atau jam 9 malam di Astro Citra, serta setiap Sabtu jam 10.30 malam di Astro Ria.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments