Hot Posts

6/recent/ticker-posts

[REVIEW] IF bawa penonton bernostalgia ke zaman kanak-kanak




ZAMAN kanak-kanak tentunya menyimpan seribu satu kenangan dalam diri setiap daripada kita. Sama ada manis atau sebaliknya, ia tetap menjadi hal yang terakam kemas dalam ingatan sehingga dewasa.

Mengangkat tema berkenaan, Paramount Pictures tampil dengan sebuah naskhah berjudul IF (Imaginary Friends) yang akan membawa penonton untuk kembali ke zaman kanak-kanak mereka.

Filem berdurasi 1 jam 45 minit yang digarap pengarah, John Krasinski itu mengajak penonton menemani Bea dan rakan-rakan imaginasinya untuk menjelajah kedunia iamginasi mereka yang penuh keceriaan dan keajaiban.

IF mengisahkan tentang Bea lakonan Cailey Fleming, kanak-kanak yang kini menginjak ke usia remaja mengalami kemurungan setelah kehilangan ibunya dan kemudiannya berdepan dengan situasi bapanya yang sedang akit di hospital.

Bea mempunyai keistimewaaan apabila ia apat melihat rakan-rakan imaginasi milik lain. Apabila mengetahui kemampuan Bea, sekumpulan IF meminta pertolongan daripadanya agar mengembalikan ingatan pemilik asal mereka terhadap kenangan ketika kanak-kanak mereka, sekali gus memberi peluang untuk mereka terus hidup dan tidak lenyap.

Di situlah bermulanya perjuangan Bea untuk mengambalikan kegembiraan dan senyuman-senyuman yang telah hilang sebelum itu. Bukan sahaja kepada orang di sekeliling, tetapi juga kepada dirinya sendiri.


Biarpun pada dasarnya, filem ini merupakan sebuah karya hiburan ringan, tetapi Krasinski kreatif mengisi penceritaan dengan emosi yang pelbagai. Elemen sedih, gembira, lucu dan drama bergantian mengikat penonton dalam babak-babak yang ditampilkan.

Menurut pengarah yang sebelum ini cemerlang menerusi filem A Quiet Place, naskhah tersebut cukup istimewa buatnya kerana dia mendedikasikan IF untuk anaknya.

Mungkin atas dasar istimewa itu juga, Krasinski mengambil banyak peranan dalam naskhah ini di mana dia bukan sahaja bertindak sebagai penerbit dan pengarah, tetapi juga sebagai pelakon dan pengisi suara untuk karakter Marshmallow Man.

IF ditampilkan dengan penuh warna-warni menerusi sederetan karakter yang cukup mencuri perhatian. Comel, ya semuanya comel dan menghiburkan dengan cara mereka yang tersendiri. Disokong pula dengan visual dan penggunaan CGI yang baik dan meyakinkan sehingga penonton terasa turut berada di dalam dunia mereka. 

Namun satu hal yang tidak boleh dinafikan, penglibatan nama-nama besar sebagai teraju utama seperti Ryan Reynolds dan Cailey Fleming, serta pengisi suara untuk barisan karakter dalam filem ini juga menjadi kelebihan.

Walaupun hanya sebagai pengisi suara, lihatlah bagaimana berimpaknya Emily Blunt, Matt Damon, Awkwafina, Blake Lively, Bradley Cooper, George Clooney dan lain-lain menghidupkan karakter-karakter yang diwakili.


Filem ini bukan hanya sesuai untuk tontonan penonton-penonton cilik, tetapi juga golongan dewasa yang tentunya turut merasa adanya hubungan penceritaan dengan kehidupan mereka yang secara tidak langsung akan bernostalgia tentang memori zaman kecil.

Untuk turut merasai pengalaman sama, jangan ketinggalan untuk menonton filem IF di pawagam berdekatan anda. - 7KLIK 



[KREDIT FOTO: UIP - Terima Kasih Fatin Salleh]

IF
Bahasa: Inggeris
Klasifikasi: P13
Genre: Komedi/animasi
Durasi: 1 jam 45 minit
Pengarah: John Krasinski   
Pelakon: John Krasinski, Ryan Reynolds, Cailey Fleming, Louis Gossett Jr, Fiona Shaw dan lain-lain
Edaran: United International Pictures
Tarikh Tayangan: 16 Mei 2024
Bintang: 6.5/10 

Post a Comment

0 Comments