Hot Posts

6/recent/ticker-posts

"Persembahan ini menjadi satu sejarah buat kami" - Sharif-Syaiful juara Famili Duo 2023


SETELAH lapan minggu bersiaran, pentas Famili Duo 2023 yang menjadi saingan sengit bagi duo keluarga selebriti untuk menonjolkan bakat dan kreativiti melabuhkan tirai dengan menobatkan duo adik-beradik, Sharif dan Syaiful ZERO sebagai juara keseluruhan.

Sharif dan Syaiful tampil dengan persembahan yang cukup kreatif, sekali gus mendapat perhatian daripada barisan juri iaitu Ajai dan Mas Idayu yang memberikan markah sebanyak 81 peratus (%). Kemenangan itu turut melayakkan duo tersebut membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM100,000 beserta trofi.

Penyanyi Adira dan Emma Suhaimi berada di tempat kedua dengan markah 60.6% serta diikuti Haqiem Rusli & Ariff Bahran dengan 58.3%.

Pernah memenangi juara mingguan sebanyak tiga kali, Sharif dan Syaiful bagaimanapun tidak menjangkakan kemenangan mereka di pentas akhir itu.




Pasangan adik beradik yang sebelum ini dikenali sebagai kumpulan pelawak itu meluahkan rasa syukur dan menyifatkan kemenangan tersebut sebagai di luar jangka.

“Alhamdulillah. Sebenarnya kami tak jangka akan menang malam ini. Masa rehearsal kami tengok duo yang lain memang all out, jadi malam ini kami memang berharap untuk buat yang terbaik dan have fun.

"Syukur juga, malam ini penonton dapat terima apa yang dipersembahkan dan persembahan ini juga menjadi satu sejarah buat hidup kami.

"Sebelum ni penonton hanya melihat kami di pentas lawak, tapi kali ini penonton masih boleh menerima kami walaupun di pentas nyanyian," ujar Sharif.




Sementara Syaiful pula mengakui sebak apabila melihat penonton dan barisan juri terhibur dengan persembahan yang mereka tampilkan.

“Bagi kami, perasaan semasa menyanyi tadi memang lain daripada yang lain. Kami sebenarnya sebak ketika memberikan persembahan apabila nampak penonton dan juga juri di studio berdiri memberi standing ovation.

"Sebelum ini mereka hanya memberi sokongan sebegitu ketika kami melawak, tapi sekarang kami mendapat sokongan yang sama dalam nyanyian kami dan kami terharu dengan sokongan itu seolah-olah penonton menghargai usaha kami," katanya.

Dalam pada itu, dua adik beradik itu berkata, bagi mereka tiada istilah mengalahkan barisan peserta lain kerana kami tahu mereka masing-masing adalah penyanyi hebat.

"Mungkin kali ini kami berjaya menambat hati penonton di studio dan juga pengundi di rumah dengan kekuatan percaturan persembahan kami.

"Dari minggu pertama bertanding lagi kami nekad untuk memberikan persembahan yang baik, dan yang paling penting sekali adalah untuk menghiburkan semua. Kami bersyukur ini semua terbalas akhirnya,” katanya.



Pada malam kemuncak itu, setiap pasangan finalis menampilkan dua persembahan menghiburkan melalui tema Vokal Berkumpulan atau Duet Popular dan tema bebas pilihan mereka.

Pentas akhir program terbitan TV3 itu juga menyaksikan penampilan istimewa pasangan suami isteri Syamel dan Ernie Zakri sebagai penyanyin jemputan dengan membawakan lagu Rindu nyanyian asal Ajai dan Nurul serta Selangit (Mas Idayu).

Famili Duo 2023 bersiaran secara langsung pada Ahad lalu di TV3, selain boleh strim langsung secara HD di www.tonton.com.my  - 7KLIK


Post a Comment

0 Comments