Hot Posts

6/recent/ticker-posts

THE HUNT PAPAR KONFLIK MANUSIA DENGAN HAIWAN PEMANGSA


USAH dan strategi perburuan haiwan pemangsa dibawakan kepada penonton RTM menerusi tayangan dokumentari Inggeris bertajuk The Hunt mulai 19 November ini, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 1.30 petang menerusi saluran TV1.

Menariknya 7 episod dokumentari disiarkan mengisi slot World Watch di TV1 ini bakal memperlihatkan secara dekat bagaimana binatang-binatang pemangsa berusaha menangkap mangsanya dengan menggunakan strategi dan taktik tertentu serta cabaran yang dihadapi. Keupayaan menggunakan pelbagai teknik ini akan menentukan kejayaan menangkap hasil buruannya.

Episod pertama, The Hardest Challenge bakal memaparkan secara dramatik pertembungan antara pemangsa dan mangsa. Bagaimana pemangsa seperti harimau bintang, buaya, falcon dan orca menggunakan pelbagai strategi, taktik dalam usaha untuk menangkap mangsanya. Kejayaan bukanlah sesuatu yang mutlak sebaliknya lebih banyak kegagalan daripada kejayaan yang dicapai. 

Berikutnya dalam episod In The Grip Of The Seasons menerangkan cabaran yang dihadapi oleh binatang pemangsa seperti beruang kutub, serigala dan musang yang tinggal di Artik tempat yang paling bermusim di dunia. Untuk berjaya binatang-binatang ini terpaksa mengubah strategi perburuan mereka mengikut musim.

Memaparkan cabaran yang dihadapi oleh binatang pemangsa seperti harimau, helang, cimpanzi dan semut askar (army ants) dalam usaha mereka memburu mangsanya di dalam hutan tebal, ikutinya dalam episod Hide And Seek




Untuk berjaya binatang–binatang ini terpaksa menggunakan taktik sembunyi dan cari (hide and seek) atau berburu di waktu malam. Kejayaan dalam perburuan bergantung pada kebolehan binatang-binatang ini menyembunyikan diri atau bekerja dalam satu kumpulan dan menyerang mangsa mereka ketika mangsanya lalai. 

Dalam perkongsian tentang Hunger At Sea , ikuti kisah lautan yang luas memerlukan strategi yang berbeza dalam perburuan. Paus biru, jerung, singa laut, ikan lumba, albatros mempunyai cara yang tersendiri untuk menangkap mangsanya. 

Ada masanya kerjasama antara pemangsa diperlukan untuk memastikan kejayaan. Ini kerana walaupun lautan merangkumi lebih setengah permukaan bumi tetapi sebahagian besarnya tidak berpenghuni dan ini menyukarkan pemangsa mencari makanan.

Sementara itu dalam tajuk Nowhere To Hide, penonton dapat menyaksikan bagaimana padang pasir dan padang berumput menguasai hampir setengah muka bumi. Dalam keadaan ini ketangkasan, keupayaan membuat kejutan dan mengambil peluang sebaik mungkin adalah diperlukan. 

Ini kerana pemangsa dan mangsa dapat melihat antara satu sama lain. Binatang seperti harimau bintang dan singa dapat menguasai kebolehan ini dengan begitu baik dengan menggunakan strategi dan ketangkasannya menewaskan mangsa. 



Race Against Time  pula tidak kurang menariknya tentang keadaan air pasang surut dan pantai yang sentiasa berubah memberi cabaran besar kepada binatang-binatang pemangsa. Dolphin, memerang dan monyet mengambil peluang ketika air surut untuk memburu makanan. 

Di Alaska setiap bulan Julai binatang pemangsa terutamanya beruang berkumpul di muara sungai untuk menunggu kehadiran ikan Salmon yang dalam perjalanan ke hulu sungai. Manakala Orca mengambil kesempatan menangkap mangsa terutama anjing laut dengan menggunakan strategi dan kepakaran melonjakkan dirinya ke pantai untuk menangkap anjing laut ketika air pasang.

Akhir sekali dalam episod Living With Predators  mengisahkan konflik antara manusia dengan binatang pemangsa dan langkah-langkah yang diambil bagi mengelakkan konflik ini. Di India kerajaan dengan kerjasama saintis sedang berusaha memberi penempatan semula kepada penduduk yang tinggal di kawasan hutan simpan. 

Ini bagi mengelakkan pertembungan antara manusia dengan haiwan khususnya harimau yang boleh mengakibatkan kehilangan nyawa dan binatang ternakan. Pembangunan dan pembukaan hutan menyebabkan jumlah helang di Venezuela menurun dengan banyaknya. 

Bagi menambah populasi helang saintis memasang ‘transmitter’ pada helang untuk mengetahui pergerakannya. Sementara di Afrika pembunuhan ke atas singa dapat dikurangkan melalui kesefahaman antara kaum Masai dan pihak berkuasa.



THE HUNT
Episod: 7      
Hari: Setiap Isnin hingga Khamis (Mulai 19 November 2018)
Masa: 1.30 petang 
Saluran: TV1
Terbitan: RTM 


[KREDIT: RTM]

Post a Comment

0 Comments