| (Dari kiri) Horseking, Gyeong Sujin, Hwang Jaegyun dan Pani Bottle |
DALAM permainan survival, kekuatan fizikal sahaja belum tentu cukup untuk membawa seseorang ke garisan penamat. Apabila setiap keputusan boleh mengubah kedudukan, keupayaan membaca gerak lawan dan membuat langkah yang tepat menjadi sama penting dengan kekuatan tubuh.
Membawa konsep itu ke tahap lebih ekstrem, Deadly Tag bakal menguji peserta menerusi siri cabaran fizikal dan mental, sambil mengetengahkan elemen perang psikologi yang boleh menjadi penentu siapa yang mampu kekal dalam permainan.
Dijadualkan menemui penonton secara eksklusif di Disney+ pada penghujung 2026, siri survival terbaharu ini turut menandakan kemunculan sulung penerbit terkenal Hyun Jeongwan di platform penstriman.
Antara yang bakal berentap ialah bekas anggota Navy SEAL, atlet profesional, YouTuber, pelakon serta bintang rancangan realiti dari Korea. Kepelbagaian pengalaman mereka bakal mewarnai persaingan, dengan setiap peserta membawa pendekatan tersendiri ketika berdepan cabaran yang menanti.
| (Dari kiri) Kim Ddolddol, Park Jimin, Jang Eunsil, Shin Jieun, ZZONE, Lee Joonsu, Yuk Junseo, Youn Sanghyun dan Yang Dail |
Lebih daripada sekadar menguji kemampuan tubuh, permainan ini turut memberi ruang kepada peserta untuk menggunakan strategi dan perang psikologi bagi mendapatkan kelebihan, menjangka langkah lawan serta mencari jalan terbaik untuk terus berada dalam permainan.
Di sebalik Deadly Tag ialah Hyun Jeongwan, penerbit yang dikenali menerusi Bloody Game serta beberapa adaptasi antarabangsanya. Untuk projek terbaharu ini, dia bergabung tenaga bersama penerbit Sohn Taeho dan Kim Jihyeong, dalam menghasilkan projek yang disifatkan sebagai antara usaha mereka paling besar setakat ini.
Permainan Survival Dalam Skala Lebih Besar
Jika Bloody Game dikenali menerusi permainan yang sarat dengan strategi dan kejutan, Deadly Tag pula menjanjikan pengalaman yang lebih besar dari segi skala dan lokasi.
Siri ini akan memanfaatkan bangunan terbiar, lokasi imersif dan pelbagai ruang mencabar sebagai medan permainan. Setiap lokasi bakal memberikan dimensi berbeza kepada cabaran yang dihadapi, dengan kejutan yang menanti bukan sahaja peserta, tetapi juga penonton pada setiap pusingan.
Deadly Tag menjadi antara siri variety terbaharu yang bakal hadir di Disney+, melengkapkan barisan kandungan survival dan pertandingan Korea yang semakin pelbagai di platform tersebut. Nantikan lebih banyak maklumat mengenai siri ini dijangka diumumkan tidak lama lagi. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments