SELEPAS mengambil masa 10 tahun untuk dibangunkan, pengarah terkenal Sunghoo Park yang baru sahaja memenangi anugerah Best Original Anime di Crunchyroll Anime Awards 2025 bakal kembali dengan siri anime original terbaharunya berjudul Bullet/Bullet, yang akan ditayangkan secara eksklusif di Disney+ Hotstar bermula 16 Julai ini.
Mengambil latar dunia pasca-apokalips di mana manusia terpaksa menggunakan semula barangan lusuh dari 'Dunia Lama' untuk terus hidup, Bullet/Bullet mengikuti kisah Gear, seorang penjual barangan lusuh yang menyimpan rahsia besar.
Pada waktu malam, Gear bekerja sebagai pencuri bersama dua rakan uniknya, Qu-0213 iaitu sebuah robot dengan pelbagai personaliti, dan Shirokuma, seekor beruang kutub yang mempunyai masalah ketagihan judi.
Trio ini dikenali sebagai antara pencuri terbaik dalam bidang mereka. Namun segalanya berubah apabila mereka menyelamatkan seorang gadis daripada kumpulan pembunuh upahan, satu tindakan yang mencetuskan konflik dengan pihak berkuasa tertinggi dalam masyarakat yang kian hancur.
Siri ini menampilkan barisan pelakon suara terkenal termasuk Marina Inoue sebagai Gear, Kazuhiro Yamaji sebagai Shirokuma, Rie Kugimiya sebagai Nosa-Nee, dan Kana Hanazawa sebagai Kaw-Nee.
Bullet/Bullet ditulis oleh Aki Kindaichi, dengan rekaan watak oleh Takahiro Yoshimatsu selaku Ketua Pengarah Animasi, serta konsep dan mekanikal oleh Hidetaka Tenjin.
Lagu tema
Menambah tarikan eksklusif, penyanyi rap popular Chanmina menyumbang lagu tema pembukaan berjudul Work Hard, manakala band rock Tokyo, Newspeak akan mempersembahkan lagu Glass Door sebagai lagu penutup.
Bullet/Bullet akan ditayangkan dalam dua bahagian eksklusif di Disney+ Hotstar di mana lapan episod pertama bermula 16 Julai, manakala lapan episod terakhir bakal menyusul pada 13 Ogos.
Siri ini merupakan sebahagian daripada koleksi APAC Originals yang semakin berkembang di Disney+ Hotstar. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments