PENYANYI Rahmad Mega dan bekas isteri, pelakon Ainina Ahmad B kehilangan anak istimewa, Nur Ara Elisya, 15, yang menghembuskan nafas terakhir sekitar 2 petang Ahad.
Berita duka itu dikongsi Rahmad menerusi video pendek yang dimuat naik di laman Instagram yang ketika itu berada di Sarawak untuk menjayakan persembahan di sana.
“Assalamualaikum untuk seluruh warga Betong. Saya minta maaf tak dapat hadir untuk malam ini. Saya dah berada di Kuching untuk pergi ke lokasi. Tapi saya dapat berita anak saya baru sahaja menghembuskan nafas yang terakhir.
"Jadi saya terpaksa bergegas balik ke Semenanjung. Saya minta maaf warga Betong,” ungkap Rahmad menahan tangis.
Difahamkan jenazah anak 'syurga' itu akan dibawa ke Kemensah untuk diuruskan dan disempurnakan.
Lebih syahdu, empat hari lalu, Ainina menerusi satu perkongsian di Facebook telah memuatnaik gambar dan ucapan ulang tahun buat anak bongsunya itu.
“Happy Birthday sayangku.. Nur Ara Elisya. Mama love you Elisya, terima kasih ALLAH untuk anak syurga ini.
"Semoga cepat sihat dan diberikan keajaiban. Elisya dapat berjalan semula. Sihat, cergas dan ceria seperti dulu. Amin-amin,” tulisnya.
Allahyarham Nur Ara Elisya yang juga anak istimewa (OKU) sebelum ini menjalani pembedahan tulang belakang di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HUKM).
Pembedahan Spinal bertujuan meluruskan tulang belakang yang membengkok 140 (darjah) akibat sindrom Prader Willi atau penyakit yang jarang berlaku, di mana ia muncul ketika lahir serta menyebabkan beberapa masalah fizikal, mental dan tingkah laku. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments