Hot Posts

6/recent/ticker-posts

ATEEZ Kembali Dengan ‘Golden Hour: Part.3’ - Menuju Jelajah Dunia In Your Fantasy


Oleh: AILEEN ADAM

KUMPULAN sensasi Korea yang tidak perlu diperkenalkan lagi, ATEEZ, kembali menghangatkan dunia K-pop dengan EP ke-12 mereka berjudul Golden Hour: Part.3, sekali gus menyemarakkan lagi debaran menjelang konsert jelajah dunia mereka, In Your Fantasy.

Dinobatkan sebagai K-pop Artist of the Year oleh iHeartRadio dan menerima pencalonan pertama di American Music Awards tahun ini, ATEEZ membuktikan bahawa mereka kini berada di puncak kejayaan.

EP terbaharu ini membuka lembaran kepada pesona manis penuh emosi dan tarikan yang berbahaya. Melalui karya ini, ATEEZ menghidupkan detik-detik emosi yang bergetar lalu membiarkannya bersinar dengan jujur dan berani.

Menggambarkan keghairahan malam musim panas, Golden Hour: Part.3 membawa pendengar melalui perjalanan emosi iaitu daripada godaan, pemberontakan hingga pencarian jati diri.

Ia menggambarkan rasa yang lama dipendam, keinginan yang selama ini ditekan oleh kesibukan hidup, kini membuak dan tidak lagi boleh disembunyikan. Pencarian rasa yang manis, tetapi penuh risiko yang hanya mampu memberi kelegaan sementara, bukan kepuasan sejati.

EP ini memuatkan lima buah lagu iaitu Lemon Drop, Masterpiece, Now This House Ain’t A Home, Castle, dan Bridge: The Edge of Reality.

Keseluruhan projek ini menyajikan naratif emosi yang kompleks, dari sisi ceria dan menyegarkan hingga ke gelap dan introspektif dengan Lemon Drop sebagai lagu tumpuan yang menyuntik semangat.

Ahli kumpulan Hongjoong dan Mingi turut mengambil bahagian dalam penulisan lirik untuk empat daripada lima lagu dalam EP ini, memperlihatkan sisi artistik dan peribadi mereka yang lebih mendalam.

Konsert jelajah

EP ini juga hadir bersama pengumuman konsert jelajah dunia, In Your Fantasy yang akan bermula pada 5 Julai 2025 di Incheon, Korea Selatan sebelum menjelajah ke 11 bandar utama di Amerika Syarikat, Mexico City, dan Jepun.

ATEEZ turut mencipta sejarah dengan konsert di lima stadium besar di Amerika Utara, termasuk dua malam berturut-turut di BMO Stadium di mana ia satu pencapaian hebat yang membuktikan kedudukan mereka sebagai powerhouse persembahan global.


Dengan Golden Hour: Part.3, kumpulan ini terus merentas batas genre dan emosi, menghadirkan karya yang penuh tenaga dan kejujuran.

Menjelang jelajah dunia In Your Fantasy, ATEEZ bukan sahaja meraikan muzik tetapi juga hubungan yang semakin erat bersama peminat di seluruh dunia. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

إرسال تعليق

0 تعليقات