Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Rollercoaster muzik, emosi Satwo 'Di Persembunyian'



SETELAH empan tahun menanti, akhirnya impian kumpulan indie-folk, Satwo untuk tampil dengan album sulung mereka menjadi kenyataan dengan pelancaran Di Persembunyian.

Album terbitan syarikat rakaman Luncai Emas itu disifatkan Satwo yang dianggotai oleh Maz dan Rafiz sebagai ‘rollercoaster’ dan ‘eccentric’ apabila menampilkan karya-karya berbeza.

Mengulas tentang konsep album tersebut, Maz berkata, ia seperti sebuah antologi kerana setiap lagu memiliki ‘mood’ dan nuansa yang berlainan.

"Kami cuba membawa pendengar dalam perjalanan yang tidak terduga. Mesej yang ingin disampaikan secara umum ialah ‘cinta’; itulah suasana proses awal penulisan lagu-lagu dalam album ini yang membuat kami memilih Di Persembunyian sebagai judul album.

"Ia seolah-olah bunyi yang bersembunyi seperti perasaan yang bersembunyi,” ujarnya.

Menariknya, Satwo juga akan melancarkan single keempat mereka, Betapa Indah, seiring dengan pelancaran album ini.

Sementara itu, Rafiz mengakui teruja dan menimba pengalaman menulis sendiri lirik lagu untuk album perdana Satwo itu, selain dapat bekerjasama sahabat lamanya, Ilham, yang bertindak selaku penerbit album.

"Sebelum menandatangani kontrak dengan Luncai Emas, kami berbicara dengan Ilham dan menyatakan keinginan untuk merakam album ini dengan piano akustik, dan Ilham memenuhi janji tersebut dan saya dapat juga merakam dengan piano Datuk M. Nasir di Studio Ronggeng.

"Untuk penulisan lirik, saya banyak menulis berdasarkan pengalaman orang sekitar dan mungkin ada sedikit elemen peribadi.

"Saya masih belajar untuk menulis lirik, bereksperimen di sana-sini, jadi jika ada hal yang tidak masuk akal dalam lirik saya, harap dimaklumi,” katanya.


Mengenai proses senireka album, Maz menambah, ia merupakan kolaborasi antara Satwo, Ilham dan Shah Azman.

"Kami bersama-sama dengan Shah Azman untuk memastikan temanyasesuai dengan konsep album ini.

"Secara simbolik, beg merah yang saya bawa adalah album kami. Ada beberapa simbolisme lain dalam album ini yang akan kami simpan sebagai kejutan," jelasnya.

Tidak sabar menantikan respons peminat, Rafiz mengharapkan agar karya-karya Satwo dapat diterima dengan baik.

"Berdebar-debar sebab akhirnya album ini berjaya terbit dan berada dalam tangan. Kami harap album ini dapat tempat di hati pendengar dan peminat yang selalu bertanya, bila album nak keluar? Terimalah Di Persembunyian, anak sulung kami," ungkapnya.

Dalam pada itu, penerbit album, Ilham, yang juga merupakan vokalis serta pemain gitar kumpulan Pitahati, mengakui album tersebut sangat istimewa.

"Album ini pertama yang saya terbit sepenuhnya. Ia istimewa kerana ia mempunyai nilai-nilai eccentric dalam keindahan. Sepanjang proses pembikinannya, saya cuba mengeluarkan unsur-unsur tersebut yang ada pada karekter mereka berdua dan menyuluhkannya dalam lagu.

"Pada pendapat saya, mereka berdua merupakan pencipta lagu yang sangat unik dan bagus, malah mempunyai identiti serta gaya tersendiri.

"Impak album ini di dalam scene muuzik tempatan saya sendiri tak dapat nak ramal, tetapi yang penting kami telah mencurahkan segala yang boleh dicurahkan ke dalam album ini dan saya gembira akhirnya ia dapat dilepaskan ke orang ramai," tegasnya. - 7KLIK



[FOTO: Luncai Emas - Terima Kasih Opie]

Post a Comment

0 Comments