Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Tampilkan rekaan Baju Melayu 'see through' dalam koleksi Luxe Raya 2024, Arma Couture ada alasan tersendiri



LEBIH 20 tahun mendirikan jenama fesyen dengan identiti dan ciri tersendiri, Arma Couture terus menjadi pilihan ramai terutamanya menjelang musim perayaan.

Menghargai sokongan diberikan, jenama fesyen yang diusahakan oleh pereka terkenal, Arma Rahman itu tampil melancarkan Luxe Raya Arma Couture 2024 menerusi satu pertunjukan fesyen yang memperagakan 30 rekaan baju raya termasuk koleksi Baju Melayu.

Acara yang berlangsung di The Avenoir, Putrajaya pada Ahad lalu mendapat sambutan meriah, malah maklum balas positif terhadap koleksi yang hadir dengan pelbagai pilihan, baik tradisional mahupun moden kotemporari.

Namun paling menarik perhatian, tentunya koleksi Baju Melayu 'see through' yang sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi apabila dikatakan cuba merosakkan nilai-nilai budaya Melayu yang cukup sinonim dengan elemen kesopanan dan kesantunan.

Menurut Arma atau Wan Armatajali Abdul Rahman, sebagai pereka yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa, dia sekadar mahu mencipta kelainan dan memberi lebih pilihan kepada pembeli yang gemar berfesyen.

"Sebenarnya ia terpulang kepada si pemakai. Kalau mahu nampak lebih sopan, boleh sahaja dipakai bersama t-shirt atau singlet di dalam. Saya percaya jenis Baju Melayu ini sebenarnya sesuai dengan keadaan cuaca panas di negara kita.

"Walaupun tampil dengan rekaan sebegitu (see through), saya tidak 'melucahkan' baju itu. Cuma membuat kelainan dari segi penggunaan material iaitu inovasi yang dilakukan dengan menggunakan chiffon.

“Hanya baju sahaja yang 'see through' tetapi seluar dilengkapkan dengan lining, malah tetap sopan apabila dipadankan dengan sampin," jelasnya yang ditemui pada majlis pelancaran koleksi tersebut.

Antara rekaan menarik yang ditampilkan dalam koleksi Luxe Raya Arma Couture 2024

Mengulas tentang koleksi Luxe Raya Arma Couture 2024 secara keseluruhan, Arma yang kali terakhir mengadakan pertunjukan fesyen raya secara solo pada 2015 itu, berkata, ia merupakan koleksi raya eksklusif atau tempahan khas yang direka mengikut permintaan pelanggan.

"Sebelum ini saya ada menyediakan koleksi 'ready to wear', tetapi tahun ini kembali kepada konsep asal saya  iaitu 'custome made'. Saya percaya rekaan sebegini mempunyai pengikut tersendiri dan ramai yang masih setia sehingga sekarang.

"Sebagai pereka yang sudah 20 tahun berada dalam industri, saya selalu berpegang kepada praktikaliti, romantik dan sense. Itu ciri-ciri penting rekaan saya kerana tidak suka berlebih-lebihan dengan mencipta sesuatu untuk menarik perhatian, tetapi tidak selasa dipakai.

"Saya hanya mementingkan kualiti, ketelitian jahitan dan seni kombinasi material untuk kesemua rekaan saya. Tidak hanya untuk baju raya, tetapi juga bagi pakaian yang digayakan pada acara-acara lain termasuk perkahwinan," katanya yang cukup dikenali sebagai pereka yang mempunyai ciri ketelitian jahitan dalam rekaannya.

Pertunjukan fesyen Luxe Raya Arma Couture 2024 yang turut menampilkan kolaborasi bersama The Avenoir menerusi pelnacaran Bufet Ramadan Sesedap Rasa itu menampilkan Nana Mahzan sebagai hos, selain diserikan persembahan daripada Bob Yusof dan Salma Asis. - 7KLIK


Post a Comment

0 Comments