Hot Posts

6/recent/ticker-posts

SITISM EDISI DELUXE TAMPIL XTRA 4 LAGU, BONUS LAGU DUET BERSAMA DATUK AWIE

 

SELEPAS melancarkan album Sitism yang memuatkan lapan buah lagu pada bulan Jun lalu, kini penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza muncul dengan empat buah karya tambahan dalam album edisi deluxe.

Album deluxe Sitism telah melengkapkan 12 buah lagu,  mula dilancarkan di seluruh pelantar digital bermula 8 September 2023.

Judul Sitism dipilih daripada nama Siti Nurhaliza iaitu Siti dan imbuhan `ism’ pula adalah istilah linguistik yang digunakan untuk membentuk kata nama bagi melambangkan kualiti, keadaan, ideologi atau hala tuju album.

Apabila nama Siti dan imbuhan `ism’ digabungkan, Sitism membentuk kata nama yang mewakili ciri-ciri tertentu yang ada di dalam album solo ke-20 penyanyi itu.

Sitism atau Siti-ism bagi menggambarkan Siti Nurhaliza kerana menurut apabila Siti menyanyi, ciri khas, gaya, kualiti dan suara yang dimiliki penyanyi itu unik serta senang dikenali bahawa itulah Siti Nurhaliza.

Menurut bintang berusia 44 tahun itu, empat buah lagu terbaharu yang dimuatkan dalam album Sitism bukanlah lagu bonus tetapi menjadi antara pilihan terbaik untuk melengkapkan 12 karya walaupun berjarak dua bulan pelancarannya.

Ini merupakan salah satu strategi untuk memberikan peluang kepada para peminat, pencinta muzik, stesen radio dan stesen televisyen menumpukan kepada lagu-lagu daripada album Sitism yang dilancarkan pada bulan Jun dan kini menyambung promosi dengan edisi deluxe pula.

"Album Sitism adalah diri saya yang tersendiri seiring dengan peredaran masa dan perkembangan muzik yang dipaparkan menerusi muzik, lirik, imej serta persembahan," ujarnya.

Album terbitan Universal Music dan Siti Nurhaliza Productions itu turut dikeluarkan dalam bentuk fizikal.

Empat buah lagu terbaharu dalam edisi deluxe terdiri daripada Senyawa ciptaan Farouk Roman dan lirik oleh Senna, Kalau Berkasih (Glowrush & Tam Cobain & Mike Chan), Nadi (Mim Hamzah & Illi Diyana), Kusedari (Siti Nurhaliza/Habsah Hassan).

Istimewanya dalam edisi deluxe, Siti telah mengundang penyanyi rock legenda, Datuk Awie untuk berduet dalam lagu bergenre tradisional moden, Kalau Berkasih. Ia merupakan penampilan pertama Awie merakamkan lagu tradisional dan tentunya gandingan dua penyanyi ini dapat mengangkat muzik tradisional kepada seluruh lapisan masyarakat.

Selain itu, album Sitism memuatkan lagu Menyapa Dunia (Melly Goeslaw/Melly Goeslaw), Tanpa Diri-Mu (Luca Sickta/Luca Sickta & Siti Nurhaliza), Sehebat Matahari (Aubrey Suwito/Rozisangdewi) dan Ganti (Mingaling & Nuha Nik/ Amir Hasan & Nuha Nik).

Diikuti Romansa Kita (Sharon Paul/Rozisangdewi), Teratas (Tomok & Rudy Nastia/Fedtri Yahya), Menjaga Cintamu (Andi Rianto/Sekar Ayu Asmara) dan Magis (Mas Dewangga & Jova Devito/ Mas Dewangga & Jova Devito & Aden King).

Sitism edisi deluxe kini boleh didengari di semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Deezer, KKBOX dan YouTube Music.










Post a Comment

0 Comments