Eksperimentasi Dolla menerusi Damelo



KUMPULAN wanita popular, Dolla kini tampil dengan buah tangan terbaharu, Damelo buat peminat yang sentiasa menantikan karya terkini daripada mereka.

Ditulis dalam bahasa Sepanyol pada asalnya, Damelo ini kemudian diolah ke dalam bahasa Melayu dan Inggeris oleh penyanyi rap wanita SYA dan diterbitkan oleh Joshua Tan, atau lebih dikenali sebagai Hard Lights.

Dolla yang dianggotai oleh Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya berkata, mereka sentiasa cuba bereksperimentasi demi mencari kelainan dalam karya.

“Walaupun lagu ini ditulis dalam bahasa Melayu dan Inggeris, kami masih kekalkan beberapa bahagian dalam bahasa Sepanyol sebagai penghormatan kepada penulis asal karya ini.

“Kami juga mengambil inisiatif belajar sebutan bahasa Sepanyol daripada SonaOne dan adiknya untuk memastikan lagu ini disampaikan dengan betul.

“Selain itu kami juga suka bereksperimentasi dengan perkara baharu. Apatah lagi kami juga mempunyai peminat dari Amerika Latin sekarang. Jadi masanya memang sesuai,” ujarnya.

Lagu yang mempunyai judul dalam bahasa Sepanyol ini mempunyai banyak makna buat empat gadis berbakat yang baru sahaja dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Kumpulan/Duo/Kolaborasi Popular di Anugerah Bintang Popular BH KE-35 (ABPBH35) baru-baru ini.

“Lagu ini tentang melakukan apa sahaja untuk mencapai sesuatu. Malah untuk melakukan semua ini, kami menggunakan kebolehan serta tenaga kami sebagai wanita.

“Jika anda dengar lagu ini dengan betul, ia sebenarnya lagu kami yang paling feminin dan lantang bersuara mengenai pemerkasaan wanita,” kata Dolla.

Damelo yang mengambil masa beberapa sesi untuk disiapkan ini juga hadir dengan sebuah video muzik menarik  menerusi visual sesuai dengan album penuh mereka yang akan terbit tak lama lagi.

“Video muzik buat Damelo merupakan satu langkah besar buat kami. Ia menampilkan sisi lain kami yang lebih matang dan menampilkan banyak unsur seperti padang pasir dan air dengan beberapa babak tarian juga.

“Kami mahukan sesuatu yang baharu dan luar biasa, jadi kami cuba selitkan beberapa kejutan dalam video ini. Kami berikan sepenuh kepercayaan kepada Pyqul dan Tessera Productions untuk menghasilkan watak penjahat Sepanyol yang mereka berikan dengan baik. 

“Pasukan itu muda, segar dan berjaya hasilkan video yang sangat hebat dan sesuai dengan lagu. Kami sangat gembira dengan video ini dan berharap semua orang akan menyukainya juga,” jelas Dolla.

Cabaran   

Namun menurut Dolla, semua proses tersebut mempunyai cabaran dan mereka terpaksa berhadapan dengan beberapa isu semasa penggambaran video muzik.

“Kami terpaksa beraksi di padang pasir dan sebuah bengkel yang sangat panas. Bayangkan kami terpaksa menari dan beraksi dengan lampu yang banyak selama berjam-jam di bawah sinar matahari. Tepukan buat pasukan penerbitan serta para penari kami yang mampu bertahan dengan kepanasan tika itu dan masih kelihatan hebat dalam video.

"Walaupun panas, ia mula hujan sewaktu kami merakam babak bengkel dan gara-gara itu kami mengambil waktu lebih lama untuk menyiapkannya. Tapi secara umum ia satu pengalaman yang hebat berkat perancangan yang baik oleh pasukan penerbitan,” tambah mereka lagi.

Dalam pada itu, Dolla berharap Damelo akan membenarkan mereka mendekati lebih banyak pendengar serta peminat antarabangsa.

“Kami tak pernah mencuba genre ini sepenuhnya dan berharap karya ini akan mencapai pasaran baharu. Ia juga lagu yang bagus untuk dinikmati di festival EDF. Harap semua akan menyukainya seperti kami,” akhirinya.

Damelo kini boleh didapati di semua platform digital bermula 28 Julai lalu, manakala video muziknya boleh ditonton di saluran YouTube rasmi, DOLLA VEVO sejak 4 Ogos.

Terdahulu video muzik lirik Damelo sudah memasuki carta trending laman YouTube Music dan berada di tangga yang ke-10. - 7KLIK





















Post a Comment

Previous Post Next Post