Hot Posts

6/recent/ticker-posts

RTM lancar program Salam Baitullah 2022




SALAM Baitullah, program yang berjaya meraih rating tertinggi sejak diperkenalkan lebih sedekad lalu kembali menemui penonton sepanjang musim haji ini bagi memberi liputan dan maklumat terkini keadaan di Tanah Suci kepada umat Islam di tanah air dan sekitar Asia Tenggara.

Justeru berlangsung majlis pelancaran program ini diadakan bertempat di Hotel Impiana KLCC baru-baru ini yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud.

Tahun ini, program terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui Seksyen Ehwal Semasa (SES) edisi ke-14 akan disiarkan sebanyak 16 episod dan bersiaran secara langsung dari 26 Jun sehingga 10 Julai 2022. Siaran bermula jam 9 hingga 10 malam setiap hari dari kota suci Mekah.

Salam Baitullah bersiaran di TV1 serta Saluran Berita, 123 My Freeview dan boleh ditonton menerusi laman sesawang RTM (rtmklik.rtm.gov.my serta Facebook Live).

Dalam pada itu, sempena Hari Wukuf, dua slot masa diperuntukkan iaitu bagi slot pertama bersiaran dari jam 6 petang hingga 8 malam manakala slot kedua dari 9 malam hingga 11 malam.

Manakala bagi menarik lebih ramai penonton terutama di dalam talian, penerbitan Salam Baitullah turut mengadakan segmen media sosial di laman YouTube Salam Baitullah setiap hari bermula pada 26 Jun pada jam 8.15 hingga 8.45 malam sebelum siaran di TV1 bermula sebagai promosi awal.

Musim haji ini menyaksikan RTM menghantar dua petugas produksi Berita ke Mekah sebagai petugas media Tabung Haji. Liputan berita ini telah mula disiarkan di dalam Berita Perdana setiap hari mulai 1 Jun 2022.

Mereka yang terpilih ialah wartawan Faisal Jamal dan Azhan Sulaiman, jurukamera juga akan bersiaran dalam Salam Baitullah menerusi segmen Khabar Tanah Suci bagi membawakan perkembangan terbaharu jemaah haji Malaysia tahun ini.

Program televisyen yang menerima maklum balas positif dengan jumlah tontonan terkumpul tahun 2021 iaitu 12.3 juta walaupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan akibat pandemik Covid-19.

Musim pertama Salam Baitullah bermula pada musim Haji 2009/1430H, dengan penonton bukan sahaja dari Malaysia tetapi juga Singapura, Brunei, Selatan Thailand, dan beberapa negara lain.

Tahun ini siaran Salam Baitullah amat signifikan setelah dua tahun umat Islam di Malaysia tidak dapat mengerjakan ibadah Haji akibat pandemik Covid-19, maka tahun ini menjadi titik penting kepada Jemaah Haji Malaysia kembali menunaikan rukun Islam kelima di samping mengubat kerinduan kepada Baitullah.

Program ini juga akan mengupas perjalanan ibadah Haji bermula daripada persediaan awal hinggalah pada hari Wukuf serta membawakan perkembangan terbaru jemaah Haji kita kepada keluarga di tanah air.

Tampil dengan tema Satu Kerinduan, Suatu Kepastian, kali ini Salam Baitullah menampilkan pengacara terkenal iaitu Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, Ustaz Mohd Fakrul Radzi (UNIC) serta Ustaz Megat Mohd Zaid siaran di YouTube Salam Baitullah.

Sebagai mana musim 2021, Aafiyat Holdings Sdn Bhd.dan Olive House sebagai penaja utama. Rakan strategik lain ialah Mahabbaten Travel & Tours Sdn. Bhd, Lembaga Zakat Negeri Kedah, Impiana Hotel KLCC dan Olis Trading Sdn Bhd.  Jumlah keseluruhan nilai penajaan program Salam Baitullah tahun ini ialah lebih RM 500,000.00.

Salam Baitullah membariskan panel-panel pendakwah terkemuka negara yang memperincikan mengenai ibadah Haji.

Musim ini Salam Baitullah turut menampilkan kelainan dengan memperkenalkan segmen ‘Rehlah Haramain’ yang merupakan pakej khas tempat-tempat menarik di Tanah Suci seperti tempat bersejarah Nabawiyah, tempat-tempat menunaikan ibadah haji dan kawasan umum/khusus yang kurang dikunjungi oleh jemaah semasa musim haji.

Seperti musim haji sebelum ini, hadiah-hadiah menarik tahun ini ditaja Aafiyat Holdings Sdn Bhd berjumlah RM59,870.00 keseluruhannya. Ia meliputi siaran di TV1 dan juga media sosial.

Hadiah utama ialah pakej umrah bagi tiga pemenang terkumpul berjumlah RM28,770.00, serta baucer bernilai RM300.00 di TV1 kepada 32 pemenang keseluruhan manakala hadiah wang tunai untuk tiga pemenang terkumpul berjumlah RM6,000.00 serta baucer bernilai RM250.00 di Facebook Salam Baitullah kepada 32 pemenang. - 7KLIK


[KREDIT: RTM]


Ketua Pengarah Penyiaran bergambar bersama wakil penaja, barisan tertinggi pengurusan RTM, kru penerbitan dan hos program.

Persembahan Qasidah semasa majlis pelancaran Salam Baitullah.

Dari kiri: wakil penaja, Datuk KPP, Puan Zuraidah dan penerbit penyelaras. 

Barisan penerbit Salam Baitullah 2022.

Post a Comment

0 Comments