Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Yonnyboii luahkan cinta dalam Niki


SELEPAS menggegarkan dunia muzik tempatan dengan pelbagai lagu hit, salah seorang bintang hip hop tersohor Malaysia Yonnyboii kembali dengan sebuah lagi karya hebat berjudul Niki.

Yonnyboii yang baru sahaja tersenarai sebagai salah seorang peserta akhir anugerah berprestij, Anugerah Juara Lagu lewat lagunya Salahku mengatakan Niki, sebenarnya adalah tentang pasangan hidupnya.

“Lagu ini sebenarnya tentang cinta saya kepada isteri saya Nina. Saya tulis lagu ini beberapa hari sebelum kami bertunang, sambil membayangkan betapa indahnya hari perkahwinan kami nanti sewaktu duduk di atas pelamin,” kata Yonnyboii tentang lagu tersebut.

“Saat saya menulis lagu ini, saya seperti tidak percaya yang kami bakal bertunang dan hari perkahwinan kami semakin dekat. Saya telah pun merancang supaya lagu itu dimainkan di majlis resepsi. Dan kini saya ingin kongsikannya dengan seluruh dunia,” tambahnya.

Dicipta dan ditulis oleh Yonnyboii sendiri lagu romantik itu disusun oleh SeaTravel dan diterbitkan oleh SLACK bersama Yonnyboii sendiri.

Yonnyboii yang baru sahaja melangsungkan perkawinannya tidak lama sebelum ini menyatakan bahawa Niki menceritakan kisah cinta peribadinya. Ia mengisahkan bagaimana dia jatuh cinta begitu dalam dengan seseorang, sehingga ia memberikan dirinya keyakinan baharu, membuat dirinya benar-benar rasa disayangi serta dihargai.

Lagu ini juga dihadirkan bersama sebuah video muzik yang agak luar biasa.

“Konsep video ini agak berlainan dan temanya ada membabitkan beberapa unsur saintifik. Walaupun saya berperanan sebagai bintang utama, nantikan kemunculan seorang bintang tamu istimewa dalam video itu nanti.

“Pembuatan video muzik ini memakan waktu yang lama. Kami terpaksa menunggu dari jam 11 pagi sehingga penggambaran bermula sekitar jam 5, malah hampir 6 petang. Saya berterima kasih kepada isteri saya Nina kerana menemani saya sepanjang penggambaran.

"Saya juga ingin berterima kasih kepada pengarah video Thaqif Saadon kerana membantu saya sewaktu rakaman,” katanya.

Yonnyboii juga berharap para peminat serta pencinta muzik akan dapat menghargai seni yang dipaparkan selain rakaman yang dipersembahkan di dalam video muzik serta lagu tersebut.

Niki dilancarkan secara digital di semua platform bermula 21 Januari lalu. Video muzik rasmi pula boleh ditonton di saluran YouTube Yonnyboii VEVO. - 7KLIK




Post a Comment

0 Comments