5 Jan 2022

NINOS HEBAT, INSPIRASI KEJAYAAN KANAK-KANAK MALAYSIA DI TV1


NINOS yang bermaksud kanak-kanak dalam bahasa Sepanyol adalah program majalah kanak-kanak yang memaparkan kanak-kanak Malaysia yang berjaya dalam pelbagai bidang yang diceburi. 

Disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi saluran TV1 mulai 3 Januari lalu, setiap Isnin dan Selasa, pukul 4.30 petang, program diberi tajuk Ninos Hebat ini menariknya bakal memberi idea kepada ibu bapa untuk mencungkil potensi anak-anak sejak dari usia yang muda.

Usah ketinggalan menyaksikan perkongsian 13 episod program ini yang membawakan kanak-kanak hebat Malaysia dalam bidang masing-masing. Kejayaan mereka pastinya menyuntik inspirasi teman sebaya untuk turut mengikut jejak mereka mencipta kejayaan. 

Episod pengenalannya majalah kanak-kanak bersama pengacara Nadia Hasnan dan Iris Alessandra membawa kepada perkongsian cerita seorang ninos hebat iaitu Travis Teoh, seorang pelumba go kart yang hebat untuk kategorinya.

Mempunyai impian untuk menjadi pelumba F1, Travis seorang yang rajin, sabar dan berani. Sentiasa berusaha untuk mencapai impiannya.

Kanak-kanak memang suka menari. Melihat minat dan bakatnya, dalam episod seterusnya ibu kepada seorang kanak-kanak iaitu Eva telah menghantarnya untuk belajar tarian hip hop.  Hari ini Eva antara penari hip hop kanak-kanak terbaik di Malaysia.

Seterusnya bakat Ninie dikesan oleh jurulatih gimrama yang juga merupakan bekas atlet gimrama negara ketika melakukan pemilihan di sekolahnya. Sejak daripada itu Ninie menjadi atlet gimrama dan menyertai pertandingan di dalam dan luar negara.

Inspirasi dikongsikan oleh seorang bapa yang juga merupakan jurulatih catur dan berjaya melatih anak-anaknya supaya berminat dalam sukan catur. Hasil bimbingan dan pengorbanan bapanya, Afiqah berjaya menjadi pemain catur yang disegani di dunia dalam kategori usianya.

Menarik berikutnya kisah Mika yang memang suka bermain bolasepak. Ketika menemani abangnya menjalani pemilihan kelab bolasepak, jurulatih kelab tersebut melihat bakat Mika dan meminta untuk melatihnya. Hasilkan Mika berjaya menjadi pemain bola sepak yang berjaya untuk kanak-kanak seusianya.

Bidang peragaan pada masa kini bukan sahaja untuk orang dewasa, tetapi penyertaan kanak-kanak juga mendapat permintaan di pasaran. Namun begitu bukan senang untuk menjadi peragawati  walaupun untuk kanak-kanak.

Ada juga penceritaan menarik daripada kanak-kanak dan sukan ekstrem yang hakikatnya bukanlah gabungan yang sesuai. Tetapi Jimmy Shah tidak gentar malah sentiasa mencabar diri untuk mendaki tembok yang lebih tinggi.

Sementara itu, muzik memang menjadi kegemaran semua. Namun demikian bukan mudah untuk  belajar mengenal nota muzik dan belajar bermain alat muzik. Namun dengan teknik yang menarik dan mudah, ia mampu melahirkan pemain muzik yang hebat seperti ninos hebat minggu ini.

Menyusul kemudiannya lima lagi inspirasi kejayaan dalam bidang memasak, seni kemahiran diri ‘Capoiera’, melukis, teater dan basikal tolak.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my) dan rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.


[KREDIT: RTM]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan