Hot Posts

6/recent/ticker-posts

MARUKU IKAN MASIN ANTARA SANGEETA, SYAFIE NASWIP



RADIO Televisyen Malaysia (RTM) dalam menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan yang bakal disambut tanggal 31 Ogos depan dengan pelbagai program menarik termasuk telefilem Maruku Ikan Masin. 

Drama kekeluargaan santai arahan Hashim Rejab yang disiarkan pada 30 Ogos ini, jam 9 malam di TV2 itu menonjolkan perpaduan dan kebersamaan masyarakat penduduk sebuah kampung yang berbilang kaum. Meskipun terjadinya konflik namun ianya tidak mematahkan semangat mereka meneruskan kehidupan bersama.

Menampilkan watak utama Sarip lakonan Syafie Naswip bergandingan dengan pelakon cantik Sangeeta Krishnasamy, drama yang mengetengahkan loghat Melaka ini turut dibintangi Liza Abdullah, Aliff Hadi, Mimi Ernida juga kemunculan penyanyi terkenal dengan lagu Amalina iaitu Santesh.     

Kisahnya berlegar tentang watak Sarip seorang pengusaha perniagaan kecil-kecilan ikan masin. Malangnya Sarip sering dipandang rendah oleh adiknya, Khairul. Khairul seringkali meluahkan rasa tidak puas terhadap abangnya itu kepada ibunya, Mak Munah.

Walaupun sentiasa bergelumang dengan ikan masin, Sarip tetap diminati oleh Milah kerana sifatnya yang rajin. Milah seringkali cuba untuk mendekati Sarip dengan alasan mahu menemui Mak Munah. 

Milah mahu mencuri perhatian Sarip menerusi hubungan rapatnya dengan Mak Munah. Namun semua itu sedikit pun tidak berbekas di hati Sarip. Dia tetap tidak mengendahkan Milah.

Suatu hari, muncul seorang gadis berbangsa India, Lina datang membeli ikan masin di kedai Sarip. Saat pertama kali terpandang gadis tersebut, tulang rusuknya bergetar. Ini kerana gadis tersebut mempunyai ciri-ciri gadis idamannya.

Namun cinta keduanya terhalang dek keluarga yang tidak merestuinya. Lalu bagaimanakah pengakhiran hubungan keduanya? Adakah mereka berjodoh atau ditakdirkan sebagai sahabat sahaja?

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my) dan rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.


[KREDIT: RTM]





Post a Comment

0 Comments