Hot Posts

6/recent/ticker-posts

DOKUMENTARI YANG DULU SINGKAP KISAH SUKA DUKA ARTIS VETERAN



PROGRAM Yang Dulu ialah sebuah rancangan temu bual eksklusif berkonsepkan dokumentari terbitan Astro Prima yang menyingkap kisah biografi barisan artis veteran tanah air.

Bakal dikemudikan oleh Datuk Aznil Haji Nawawi atau lebih dikenali sebagai Pak Nil selaku pengacara, program Yang Dulu musim pertama bakal menampilkan seramai 25 artis veteran yang pernah mengecapi kegemilangan populariti dan menjadi kegilaan ramai suatu ketika dahulu.

Antara nama-nama besar yang menjayakan musim ini termasuklah Datuk M Daud Kilau, Datuk David Arumugam, Datuk Rosnani Jamil, Datuk Jeffrydin, Datuk Ahmad Nawab, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Datuk Malek Noor, Mamat Khalid, Bob Lokman, Man Keedal, AR Badul, Herman Tino, Ja’afar Onn, Ruminah Sidek, Uji Rashid, Salamiah Hassan, Norlia Ghani, Fauziah Nawi serta ramai lagi.

Program Yang Dulu akan berdurasi selama 30 minit menerusi paparan 25 buah episod secara eksklusif pada setiap hari Jumaat, jam 7 malam mulai 1 Januari 2021 menerusi saluran Astro Prima (125) dan Astro Prima HD (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan perkhidmatan ‘on demand’untuk pilihan yang lebih fleksibel.


PETIKAN KENYATAAN RASMI WAKIL ASTRO

Norzeha Mohd Salleh, Pengurus Saluran Astro Prima:

“Sebagai pembuka tirai tahun 2021, pihak Astro Prima dengan berbesar hati membawakan sebuah lagi program terbaharu yang mengangkat artis-artis lagenda tanah air menerusi siri dokumentari hiburan Yang Dulu khusus untuk tontonan sekeluarga. 

"Perkongsian program Yang Dulu cukup unik dan istimewa kerana setiap tetamu undangan yang menjayakan program ini dipilih berdasarkan reputasi portfolio mereka sebagai anak seni serta latar belakang kehidupan yang penuh warna warni.

"Manakala pemilihan Pak Nil sebagai hos pula adalah berdasarkan kredibiliti beliau dalam bidang pengacaraan yang sememangnya tidak perlu disangkal lagi. Pelbagai anugerah dan pengiktirafan yang sememangnya menjulang nama Pak Nil dalam bidang ini bukan sahaja di Malaysia bahkan di peringkat Asia adalah sesuatu yang cukup membanggakan.

"Melihatkan kepada pengalaman dan kekuatan Pak Nil, kami percaya beliau mampu mengemudikan program ini dengan sentuhan magisnya yang tersendiri untuk memikat hati para penonton agar terus melekat di kaca televisyen. Semoga terhibur.”


TRIVIA MENGENAI PROGRAM YANG DULU


1. Selain daripada menggalas tanggungjawab sebagai pengacara yang ditugaskan untuk mencungkil rahsia dan isi hati tetamu jemputan, Datuk Aznil Haji Nawawi atau Pak Nil juga memainkan peranan utama selaku Penerbit Eksekutif untuk program Yang Dulu.  Bagi memenuhi misi ini, Pak Nil turut membuat ‘research’ yang mendalam terlebih dahulu mengenai kesemua 25 artis yang terlibat.

2. Rakaman program Yang Dulu padat dengan pelbagai kisah suka duka eksklusif serta perkongsian emosi dan pengalaman peribadi yang tidak pernah dikongsikan kepada masyarakat umum secara terbuka sebelum ini. 

3. Secara keseluruhan, tempoh rakaman untuk setiap episod mengambil masa hampir tiga jam untuk diselesaikan. Untuk makluman, penggambaraan musim pertama program ini juga belum lagi selesai dan masih lagi dijalankan sehingga kini.

4. Sewaktu sesi penggambaran dijalankan, hampir kesemua episod mempunyai momen penuh emosi dan ‘airmata’ kecuali episod yang melibatkan penyanyi lagenda, Salamiah Hassan. Sewaktu ditemu bual, pelantun lagu malar segar Gelombang ini sendiri mengakui beliau sebenarnya seorang yang agak privasi apabila berbicara mengenai emosi dalaman.

5. Sewaktu rakaman episod yang melibatkan Datuk M Daud Kilau yang terkenal dengan gelaran Raja Gelek Malaysia, beliau melahirkan rasa gembira dan keterujaannya kerana dapat menyarungkan kembali baju labuci yang sering digayakan dahulu sewaktu beraksi di pentas hiburan selepas empat tahun tidak bergiat secara aktif dalam bidang seni.

6. Kesemua artis jemputan yang menjayakan musim ini cukup menjaga kualiti disiplin serta menghormati masa yang ditetapkan. Oleh itu, sesi penggambaran juga dapat dihabiskan lebih awal daripada jadual yang telah dirancang kerana kesemua mereka turut datang lebih awal dari ‘call time’ yang ditetapkan serta dalam keadaan yang sudah bersedia. 

7. Sewaktu rakaman episod yang melibat pelakon veteran Norlia Ghani, beliau muncul tiga jam lebih awal dari ‘call time’ yang diberi kerana tidak mahu menyusahkan pihak produksi yang perlu menunggu lama.


[KREDIT: Astro Prima]

Post a Comment

0 Comments