14 Jan 2021

AKHIRNYA ALBUM IRAMA MELAYU KLASIK DAYANG NURFAIZAH JADI KENYATAAN



PENYANYI tersohor yang sudah meraih pelbagai anugerah, Dayang Nurfaizah akan melancarkan album studionya yang kesembilan dan dijudulkan sebagai Belagu

Dipetik dari perkataan dalam dialek Melayu Sarawak, Belagu membawa maksud menyanyi dan album itu dibarisi lagu Melayu klasik malar segar.

Album yang hadir dengan lapan buah lagu ini mengetengahkan intrepretasi segar Dayang Nurfaizah dan disempurnakan dengan susunan dan gubahan muzik oleh penerbit tersohor, Aubrey Suwito.

Lagu Tudung Periuk bakal menjadi trak pertama daripada album itu yang akan dilancarkan kepada umum.

Menurut Dayang, pemilihan Tudung Periuk sebagai lagu pertama adalah kerana kemahsyuran lagu itu di kalangan orang Melayu sejak dahulu lagi.


“Liriknya yang begitu puitis disempurnakan lagi dengan melodi yang mengasyikan, Tudung Periuk cukup jelas mempamerkan esen muzik tradisional Melayu. 

"Kami melancarkan lagu ini terlebih dahulu sebagai pembuka kepada semua peminat supaya mereka tahu apa yang bakal kami sajikan kepada mereka sepenuhnya apabila album ini dilancarkan sepenuhnya kelak. 

"Jika mereka sukakan Tudung Periuk pastinya mereka akan sukakan suntikan segar pada lagu-lagu di dalam Belagu," katanya.


Akui Dayang, keistimewaan yang mahu diketengahkan oleh Belagu tidak hanya pada susunan muziknya namun juga pada proses rakamannya sendiri.


"Dayang mahu mengalami sendiri bagaimana merakamkan lagu dengan iringan muzik secara langsung lantas mencetus idea untuk dia ‘membawa’ studio rakaman ke ruang yang lebih besar," jelas Dayang. 


Proses rakaman yang disempurnakan dalam masa dua hari, diiringi pemuzik-pemuzik hebat di bawah pimpinan Aubrey Suwito. Belagu meletakkan harapan agar lagu-lagu Melayu klasik akan terus segar.


"Menerusi Belagu, Dayang mahu memperkenalkan semula lagu Melayu klasik kepada generasi muda dalam bentuk yang lebih ringan dan segar. 


"Lagu Melayu klasik sudah punya ritmanya sendiri, bait lirik yang cukup indah dan begitu juga cara penyampaiannya. 

"Kami ada menyuntik kelainan pada persembahan lagu-lagu ini tetapi keaslian melodinya masih dikekalkan," katanya. 


Belagu
 diterbitkan oleh syarikat milik Dayang Nurfaizah sendiri DN & AD Entertainment  dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia.

Tudung Periuk boleh didengari sekarang di semua platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 15 Januari ini.


Manakala album Belagu edisi digital akan dilancarkan pada 12 Febuari. ‘Pre-order, pre-add, pre-save’ di semua platform digital sekarang!


Belagu disempurnakan dengan lapan trak:

1.         Tudung Periuk

2.         Jikalau Abang Merindu

3.         Tak Seindah Wajah

4.         Malam Ku Bermimpi

5.         Gurindam Jiwa (Duet Bersama Hael Husaini)

6.         Tari Tualang Tiga

7.         Di Kirim Jangan Dipesan Jangan

8.         Kenang Daku Dalam Doa Mu


Untuk maklumat terkini berkaitan Dayang Nurfaizah, sila layari:
https://instagram.com/dayangsayangkamu
https://www.facebook.com/DayangNurfaizah2007/
https://twitter.com/DayangNurfaizah


[Kredit: Universal Music Malaysia]












Tiada ulasan:

Catat Ulasan