Hot Posts

6/recent/ticker-posts

JOM RAIKAN TAHUN BAHARU 2021 DI TV2



TAHUN
2020 dunia terpaksa melalui krisis pandemik Covid-19 yang mengubah pola kehidupan seharian kita.


Dalam kesukaran berdepan dengan wabak ini hakikatnya telah mengajar kita untuk lebih menghargai dan bersyukur seadanya daripada mengharapkan sesuatu yang tidak pasti terutama dalam menghargai masa dan keluarga.

Justeru mukadimah tahun baharu 2021 diwarnai Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan mengajak penonton setia salurannya meluangkan masa berkumpul dengan yang tersayang menonton program di rumah masing-masing.

Siapa kata sambutan tahun baru 2021 tidak boleh disambut dengan meriah? Sambil menonton kita boleh bersembang, berkongsi azam tahun baru, cabaran tahun 2021 dan banyak lagi aktiviti boleh dilakukan bersama-sama.

RTM melalui saluran TV2 tampil dengan beberapa program khas bermula tarikh 31 Disember ini, jam 9.30 malam dengan tayangan filem Tai Chi Zero.

Filem ini mengisahkan tentang di Desa Chen, semua penduduk mahir seni bela diri yang dikenali sebagai Tai Chi Chen. Lu Chan datang ke desa tersebut untuk mempelajarinya, namun penduduk kampung dilarang mengajar Tai Chi Chen kepada orang luar. 

Bagaimanapun apabila Desa Chen cuba dimusnahkan seorang lelaki yang ingin membina jalan kereta api merentasi desa tersebut, penduduk kampung menyedari bahawa mereka mungkin tidak mempunyai pilihan selain menaruh kepercayaan kepada Lu Chan yang mempunyai kekuatan tersembunyi.

Filem aksi ini dibintangi oleh Anglebaby, Jayden Yuan, Stephan Fung, Tony Leung Ka-Fai dan Shu Qi.

Pada 1 Januari 2021, seawal jam 10 pagi, saksikan telemovie berjudul Di Sisi yang telah dinobatkan sebagai Drama Terbaik Anugerah Skrin 2019.

Kisahnya tentang Jali bekas peninju hebat yang kematian isteri dan kini hanya mampu berada di kerusi roda mengharapkan bantuan anaknya Udin. Udin seringkali dibuli oleh rakan sebayanya yang lain. Namun sentiasa sabar dan tabah berada di sisi ayahnya meski seringkali dimarahi tanpa sebab.

Drama terbitan Unit Drama TV ini menampilkan pelakon Muhammad Aidil Rafiq, Ruzaidi Rahman, Aman Graseka, Bohari Ibrahim, dan Rosnah Johari. 

Seterusnya berhibur dengan Konsert Wings & Superfriends, jam 2 petang yang menyaksikan gabungan persembahan Kumpulan Wings bersama artis-artis popular seperti Datuk M.Nasir, Datuk Ramli Sarip, Datuk Hattan, Datuk Nash, Datuk Siti Nurhaliza, Ito, Sahara Yaacob, Liza Hanim, Lan Kristal, Haiza, Syamel, Maya Karin, Billa, Kudeen, Uchop dan Aniq. 

Rangkuman semua program terbitan Unit Hiburan RTM sepanjang tahun 2020 program #memanglayan2020, jam 8.30 malam.

Dihoskan oleh Nana Mahazan, program satu jam ini akan mengimbas kembali antara konsert-konsert yang trending, rancangan hiburan sepanjang PKP iaitu Nyanyi Dari Rumah, terbitan klip video, rancangan bual bicara dan pelbagai aksi kru penerbitan di belakang tabir.

Perbezaan karekter dua beranak, Eddy, anak lelaki yang sado dan bapanya, Zainal yang lembut mewarnai plot kisah telemovie Mr. Pavlova disiarkan pada jam 9.30 malam.

Pertembungan sikap keduanya membuatkan anak beranak ini sering tidak sependapat. Tapi ada sesuatu yang membuatkan Eddy mematuhi arahan Zainal iaitu membuat kek pavlova untuk memikat hati seorang gadis bernama Zahra.

Telemovie ini dilakonkan oleh Erry Putra, Abby Nadzri, Datuk Jalaluddin Hasan dan Hairi Safwan.

[KREDIT: RTM]

Post a Comment

0 Comments