Hot Posts

6/recent/ticker-posts

JAUHARI BORNEO, KONGSI KRAFTANGAN UNIK DARI SABAH, SARAWAK


PRODUK kraf seperti tembikar, songket, batik, ukiran kayu, dan anyaman manik antara produk kraftangan tempatan yang biasa kita dengar dan ketahui bentuk figuranya. Namun apakah yang terbayang di fikiran anda bila ada yang menyebut perahu lepa-lepa, sulaman linangkit, dan alat muzik sompoton? Bagaimana rupa bentuknya? Apakah keunikannya? 

Sabah dan Sarawak sememangnya sangat terkenal dengan kepelbagaian seni kraf yang melambangkan identiti dan keunikan suku kaum tertentu di negeri ini. Namun keistimewaan ini masih kurang diketahui ramai khususnya masyarakat di Semenanjung Malaysia.

Justeru dalam program diberi tajuk “Jauhari Borneo”, menjadi platform untuk lebih mempopularkan produk terbabit yang merentasi sempadan Borneo. Dokumentari ini disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai 6 Februari ini, setiap Khamis, pukul 1.00 tengah hari di TV Okey (Astro 109) yang memapar dalam setiap episod pengacara Akhmal Nazri yang akan menjelajah ke seluruh Negeri Sabah dan Sarawak dalam menjejak serta bertemu para penggiat seni kraf tangan tempatan. 

Penggiat seni kraf tangan yang ditemu bual berkongsi cerita dan pengalaman berkenaan sejarah seni kraf tangan mereka, cara membuat kraf tangan tersebut dan impian mereka dalam memperkenal serta mempertahankan seni kraf tangan mereka daripada pupus ditelan zaman. 

Parang Kota Belud 
Berkunjung ke Kampung Siasai, Kota Belud, Sabah bertemu dengan Haji Abdul Majad Halim, seorang penggiat seni pembuatan Parang Bajau yang berkongsi cerita sejarah, jenis dan kegunaan Parang Bajau yang dihasilkan. Selain itu, berkongsi pengalaman beliau dalam mempromosikan hasil seni di seluruh Malaysia sehingga didaftarkan sebagai harta intelek Malaysia oleh MyIPO. 

Lepa-Lepa
Hos ke Pulau Bumbum, Semporna, Sabah untuk bertemu dengan Mohd. Rafi Baharim, seorang penggiat seni pembuatan perahu lepa-lepa miniatur untuk dijadikan sebagai cenderamata. Beliau berkongsi cerita sejarah, jenis dan kegunaan perahu lepa-lepa. Ia diakhiri dengan nasihat dan dorongan kepada anak muda yang ingin bergiat dalam seni pembuatan perahu lepa-lepa.

Anyaman Buluh
Berada di Kampung Sook, Keningau, Sabah menemubual Emily Binti Jeneble, seorang penggiat seni anyaman buluh. Beliau berkongsi cerita sejarah, perbezaan antara anyaman buluh di Semenanjung dan di Borneo, dan produk yang dihasilkan dengan menggunakan anyaman buluh. Selain itu, beliau berkongsi pengalaman beliau dalam mempromosikan hasil seni beliau diperingkat antarabangsa sehingga beliau menerima beberapa pengiktirafan daripada badan kerajaan dan juga bukan kerajaan. 

Gong Gombizau
Di Kampung Sumangkap, Kudat, Sabah hos bertemu dengan Danny Haji, seorang penggiat seni pembuatan Gong Gombizau. Beliau berkongsi cerita sejarah, keunikan gong yang dihasilkan, jenis-jenis dan kegunaan gong yang dihasilkan. 

Sulaman Linangkit
Lokasi di Kampung Indai, Tuaran, Sabah berjumpa Emilianah Dahun yang berkongsi cerita sejarah, pengalaman dalam industri sulaman linangkit dan jenis produk dihasilkan menggunakan sulaman linangkit. Seterusnya, beliau menunjukkan bagaimana sekeping kain sulaman linangkit dihasilkan bermula dari pemilihan jenis benang yang digunakan dan sehinggalah terhasilnya kain tersebut. 

Alat muzik Sompoton
Berada di Kampung Tempasuk, Kota Belud, Sabah menemui George Albert Bin Nuli, seorang penggiat seni pembuatan alat muzik sompoton. Beliau menerangkan sejarah, jenis upacara atau majlis yang menggunakan alat muzik sompoton dan perbezaan antara alat muzik sompoton Sabah dan Sarawak. 

Busana Kaum Melanau
Kunjungan ke Bandar Mukah, Mukah, Sarawak bersama-sama tetamu Abdul Latif Mohti, seorang penggiat seni menjahit busana tradisional suku kaum Melanau. Beliau berkongsi cerita sejarah, jenis rekaan, upacara atau majlis yang sesuai busana tersebut digunakan. Seterusnya, ditunjukkan bagaimana sepasang baju lelaki Melanau dihasilkan bermula dari lakaran rekaan baju dan sehinggalah terhasilnya baju tersebut. 

Gendang Melayu Sarawak
Di Kampung Paroh, Batu Kawah, Sarawak kongsi pengalaman penghasilan gendang Melayu Sarawak dengan Haji Omar Haji Tomik. Beliau menunjukkan bagaimana ia dihasilkan bermula dari pemilihan jenis kayu dan sehinggalah terhasilnya gendang tersebut. Selain itu, beliau berkongsi pengalaman dalam mempromosikan hasil seni beliau diperingkat kebangsaan selain membuat kelas pembelajaran membuat gendang. 

Perahu Tambang Miniatur
Berkunjung ke Kampung Bintawa Tengah, Kuching, Sarawak bertemu dengan Muhammad bin Julaihee, seorang penggiat seni pembuatan Perahu Tambang miniatur untuk dijadikan sebagai cenderamata. Beliau berkongsi cerita sejarah, jenis dan kegunaan Perahu Tambang. Selain itu, beliau berkongsi pengalaman dalam mempromosikan hasil seni beliau diperingkat kebangsaan sehingga mendapat pengiktirafan dari badan kerajaan dan bukan kerajaan. 

Alat Muzik Sape 
Menarik di Kampung Atas, Kuching, Sarawak menemui Mathew Ngau, penggiat seni pembuatan alat muzik sape. Beliau berkongsi cerita sejarah, jenis-jenis sape dan cara bermain alat muzik sape. Selain itu, beliau berkongsi pengalaman beliau dalam mengajar generasi muda bermain alat muzik sape, mempromosikan seni beliau diperingkat kebangsaan. 

Songket Sarawak
Episod akhir ini memaparkan hos mengunjungi Kampung Gedong, Simunjan, Sarawak untuk bertemu dengan Ramtiniwaiti Binti Ramlee, penggiat seni tenunan songket Sarawak. Beliau berkongsi cerita sejarah, jenis-jenis songket yang dihasilkan dan perbezaan antara songket Semenanjung dengan Sarawak. Seterusnya, beliau menunjukkan bagaimana sehelai kain songket Sarawak dihasilkan bermula dari menerai benang, menenun dan sehinggalah terhasilnya kain songket tersebut. Selain itu, beliau berkongsi pengalaman dalam mengajar generasi muda menghasilkan songket Sarawak, mempromosikan hasil seni beliau. 

Post a Comment

1 Comments