22 Jan 2019

MEXICO, SAKSI CINTA ZARA ZYA DAN ZAHIRIL ADZIM


KEINDAHAN negara Mexico ditonjolkan dalam drama bersiri terbaharu disiarkan RTM bertajuk Hola Hermosa mengisi slot Kejora di TV1 mulai 23 Januari ini, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 11.30 pagi. 

Pastinya tayangan drama 26 episod ini antara yang ditunggu-tunggu kerana menggandingkan enam pelakon utama Zahiril Adzim, Zara Zya, Miera Liyana, Ramona Zam Zam, Azrel Ismail dan Nizen Ayob. 

Hola Hermosa yang bermaksud ‘Hello, Si Cantik’ dalam bahasa Sepanyol arahan Muralikrishnan Munian ini mengangkat perjalanan hidup sepasang suami isteri dan dua orang rakan mereka serta pasangan masing-masing yang menempuh pelbagai cabaran dalam mengharungi kehidupan dan perjuangan cinta mereka.

Ia bermula dengan watak utama, Rizuan yang melanjutkan pengajian seni bina di Mexico City. Rizuan meninggalkan Myza, isteri yang dinikahinya secara rahsia di Malaysia atas permintaan keluarga Rizuan. Myza diambil sebagai anak angkat oleh Rizuan setelah ibu dan ayahnya meninggal dunia.

Masa berlalu Rizuan mempunyai ramai kenalan di sana dan mengabaikan Myza. Myza pula berjaya diterima mengikuti kursus Bahasa Sepanyol selama enam bulan tajaan Kedutaan Mexico. Myza gembira dapat bersama dengan suaminya. 

Namun sebaliknya pula bagi Rizuan. Dia menghargai kebebasan diri di sana dapat menguruskan projek syarikat Nuri Wijaya di Mexico dan kembali menjalin hubungan dengan Sheerin, anak Dato’ Nasir, pemilik syarikat tersebut. Pada masa sama turut mempunyai kekasih bernama Melissa, warga Mexico. 

Syameel, kawan Rizuan seorang jurugambar berdedikasi cuba didekati Aliyah, model terkenal namun dia tidak menunjukkan minat. Usaha dilakukan Aliyah mendekatinya sia-sia. Muncul Rafiah, model yang berminat membantunya mendapatkan penaja bagi projek penggambaran di Mexico.




Sementara itu, Aaron kawan serumah Syameel terjebak dalam permasalahan bapa kekasihnya, Sarina yang berhutang dengan Along. Ibu Sarina kecewa dengan suaminya, Borhan memutuskan mereka bercerai tapi dihalang Sarina dan Aaron. Aaron cuba mendapatkan kerja untuk Borhan. Malangnya tidak lama kerana Borhan terjebak dengan skim pelaburan pula. 

Sarina merancang menerbitkan novel namun malangnya ditolak penerbit. Syameel dan Aaron berjanji mahu membantu menukar novel Sarina kepada drama atau filem. Sarina tinggal bersama Rafiah kerana mahu menjauhkan diri daripada ayahnya. 

Dato’ Nasir mendesak keluarga Rizuan menjodohkan Rizuan dengan Sheerin walaupun sedar isterinya Datin Sally mahu mengahwinkan anak mereka dengan Tengku Danny. Dato’ Nasir juga tersepit dengan desakan Rosmaria, pekerjanya yang merasakan dia lebih layak menguruskan projek di Mexico berbanding Sheerin.

Myza dilayan dingin oleh Rizuan. Namun dia menyembunyikan kebenaran daripada pengetahuan keluarga tentang layanan hambar suaminya itu. Rizuan cemburukan Myza keluar dengan rakan lelaki sekolejnya. Namun bila ditanya tentang Sheerin dia mengaku rapat dengan wanita itu dengan alasan keluarga Sheerin banyak membantunya selama ini. 

Di Mexico, Myza terserempak dengan Sheerin yang memberitahunya dia akan berkahwin dengan Rizuan dalam masa terdekat. Myza cuba mendapatkan kepastian Rizuan. Rizuan menegaskan kepada Myza dia tidak mahu terikat dengan mana-mana perempuan namun tidak sekali-kali akan menceraikan Myza kerana menunaikan janjinya kepada emak dan ayahnya.

Myza kecewa dengan Rizuan dan menghilangkan diri. Situasi itu membuatkan Rizuan tidak keruan. Puas dia mencari isterinya itu namun gagal. Aaron menasihati Syameel agar tidak menuduh Rafiah mempunyai teman lelaki tanpa usul periksa dan berterus-terang meluahkan perasaan cintanya terhadap gadis itu. 



Rizuan pulang ke Malaysia atas arahan Dato’ Nasir. Sheerin pula diarahkan ayahnya terus tinggal di Mexico. Rizuan dengan berat hati berterus-terang kepada keluarganya tentang ‘kehilangan’ Myza. Rizuan juga membuka rahsia perkahwinannya dengan Myza kepada Syameel dan Aaron. Mereka terkejut.

Myza memutuskan untuk terus tinggal dan bekerja di Mexico. Rizuan pula serba salah bila didesak berkahwin dengan Sheerin. Datin Sally pula cuba meneka siapakah bapa kepada anak yang dikandung oleh Rosmaria. 

Namun adakah jodoh Myza dan Rizuan bersatu semula atau kehadiran Sheerin mengubah segalanya? Bagaimana kesudahan cinta Syameel yang keliru memilih Rafiah atau Aliyah? Begitu juga dengan Aaron dan Sarina yang berterusan cuba menyelesaikan konflik keluarga Sarina. Ikuti pengakhiran drama bersiri 26 episod ini di TV1.   



HOLA HERMOSA
Bahasa: Melayu
Episod: 26      
Hari: Setiap Isnin-Khamis (Mulai 23 Januari)
Masa: 11.30 pagi 
Saluran: TV1
Arahan: Murali  
Pelakon: Zahiril Adzim, Zara Zya, Miera Liyana, Ramona Zam Zam, Azrel Ismail, Nizen Ayob. 


[KREDIT: RTM]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan