28 Dis 2018

SIRI KOMEDI MUZIKAL SCHOOL OF ROCK KEMBALI


BERITA gembira pastinya kepada penggemar siri komedi muzikal remaja popular, “School of Rock” apabila mulai 29 Disember ini, RTM membawakan siarannya menerusi saluran TV1, setiap Sabtu, pukul 10.30 pagi. 

Menampilkan pelakon Tony Cavalero, Ricardo Hurtado, Breanna Yde, Lance Lim dan Jade Pettyjohn, siri 25 episod arahan Jonathan Judge ini mengetengahkan usaha dilakukan seorang pemuzik rock yang menyamar sebagai guru sementara cuba untuk menyuntik semangat dalam kalangan anak muridnya minat belajar dengan menggunakan platform muzik. Menariknya dia kemudiannya berjaya menubuhkan ‘band’ rock dalam kalangan pelajar kelasnya.

Kecederaan akibat kemalangan membuatkan Cikgu Calpakis terpaksa berehat lama daripada mengajar yang membuatkan Pengetua Mullins mengambil Dewey Finn sebagai guru sementara. Dewey Finn sebenarnya merupakan pemuzik rock yang terpaksa menerima tawaran tersebut untuk menyara kehidupannya. 

Cikgu Finn ternyata berdepan tugas berat bila menyedari pelajar-pelajarnya bosan mahu belajar. Dia kemudiannya mendapat idea menggabungkan muzik dan sastera dalam kaedah pembelajarannya. Cubaannya berjaya menarik semula minat anak muridnya untuk belajar.

Summer, Tomika, Zack, Lawrence, dan Freddy bergabung menubuhkan kumpulan muzik digelar ‘School of Rock’ dan Cikgu Finn menyarankan mereka menyertai pertandingan Battle of The Bands. Tomika terpilih sebagai vokalis sekaligus menimbulkan kemarahan Summer. 

Lawatan mengejut Pengetua Mullins menimbulkan kerisauan mereka yang mengambil kesempatan berlatih dalam kelas. Tambahan pula pihak sekolah memutuskan mahu memasang CCTV untuk mengawasi aktiviti dalam kelas. Sementara itu Summer telah dipilih menjadi kapten debat sekolah. Begitu juga lagu ciptaannya dipilih Cikgu Finn untuk dipersembahkan oleh School of Rock.




Dalam pada itu dalam kelas mereka saban hari berlaku pelbagai kerenah yang adakalanya memeningkan Cikgu Finn dan membuatkan Pengetua Mulllins berang. Namun situasi itu berjaya ditepis Cikgu Finn. 

Band School of Rock teruja dibawa menghadiri uji bakat pertandingan Battle of The Bands. Sementara itu Justin daripada band Night Lizard cuba menimbulkan kekecohan mengajak Zack menyertai band mereka. Situasi itu menimbulkan kemarahan anggota School of Rock yang lain. Summer gembira dilantik sebagai pengurus band mereka.

Kemunculan Cikgu Ipson, guru muzik klasik sekolah mereka mencadangkan menubuhkan kumpulan muzik ketika zaman purba menggunakan tulang, tengkorang dan sebagainya tidak disenangi mereka. Mereka mengadukan hal tersebut ke pihak muzium menyebabkan kumpulan itu dibubarkan kerana menyalahi undang-undang dengan penggunaan barang artifak.

Night Lizard juara bertahan Battle of The Bands bertindak di luar kawalan dengan menculik semua ahli band School of Rock menyebabkan mereka tidak dapat hadir bertanding. Mujur kehilangan mereka disedari dan mereka berjaya diselamatkan malah dapat membuat persembahan. School of Band akhirnya dinobatkan sebagai juara pertandingan. Mereka meraikan kejayaan dan merancang mengeluarkan album sendiri. 

Begitu pun kehadiran semula Cikgu Calpakis menyedihkan mereka kerana terpaksa berpisah dengan Cikgu Finn. Sebaliknya Cikgu Finn ditawarkan mengajar kelas tadika. Namun ia tidak lama kerana kemudiannya mereka bertukar tempat bila Cikgu Calpakis lebih sesuai mengendalikan kelas tadika. Ia disambut gembira oleh anak-anak muridnya terutama ahli band School of Rock.

Cikgu meneruskan pembelajaran seperti biasa. Dia juga membawa kumpulan School of Rock masuk ke studio muzik untuk menjalani sesi latihan muzik. Pertandingan nyanyian popular, Future Superstar bakal berlangsung di bandar. Mereka teruja untuk turut serta terutama Summer dan Tomika.

Sementara itu Cikgu Finn risau tentang peperiksaan kelayakan guru yang perlu dihadapinya untuk mengesahkan jawatan sebagai guru. Disinilah anak-anak muridnya berperanan dalam memberikan semangat kepadanya. 

Kemuncaknya bila mereka dengan bantuan Cikgu Finn berpeluang untuk membuat persembahan di hadapan penerbit muzik terkenal, Mick Bronson. Lagu dipersembahkan tersebut kemudiannya tular di sekolah sehingga pengetua pun menyukainya.   



SCHOOL OF ROCK
Bahasa: Inggeris
Episod: 25      
Hari: Setiap Sabtu (Mulai 29 Disember)
Masa: 6.30 Petang 
Saluran: TV Okey (Astro 109)
Terbitan:    
Skrip: 
Arahan: Jonathan Judge
Pelakon: Tony Cavalero, Ricardo Hurtado, Breanna Yde, Lance Lim dan Jade Pettyjohn


[KREDIT: RTM]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan