23 Dis 2018

KONSERT NASI LEMAK CHRISTMAS


KONSERT Nasi Lemak Christmas terbitan Unit Hiburan TV RTM antara program terbaik dijanjikan RTM kepada penonton setia salurannya yang membariskan artis terkenal dalam sebuah persembahan khas. 

Disiarkan menjelang sambutan Krismas, 24 Disember ini, pukul 8.30 malam menerusi saluran TV2, program ini dirakamkan pada 3 November lalu bertempat di Auditorium Perdana, Angkasapuri Kuala Lumpur.

Konsert ini menyatukan barisan artis hebat dalam pentas sama termasuklah Francissca Peter, Kyoto Protocol, Dasha Logan, Royston Sta Maria, Suki Low, Joanne Kam, Jay Walia, Heidi BRTM, Afiq Syazwan dan undangan khas Chef Florence Tan.




Menerusi saluran TV2 juga, raikan petang Krismas anda 25 Disember ini, pukul 2.00 petang dengan tayangan muzikal khas bertajuk BBC Radio 1’s Big Weekend yang kembali untuk tahun ke-14 dengan skala yang lebih besar dan menarik. 

Antara artis terkenal yang membuat persembahan pada konsert ini adalah Katy Perry, Kings of Leon, Lorde, Bastille, Rag ‘N’ Bone an, Imagine Dragons, Sean Paul dan Shawn Mendes. Paling mengujakan konsert percuma ini telah dihadiri lebih daripada 70,000 penonton.



Hari sama pukul 9.30 malam, luangkan masa menyaksikan filem It’s Christmas Carol lakonan Olivia Cheng, Carrie Fisher, Emmanuelle Vaugier dan Tugh Runyan mengisahkan seorang Ketua Eksekutif syarikat percetakan yang hanya mementingkan kerjayanya dan kejayaan syarikatnya. 

Beliau mengejar kejayaan sehingga menjadi seorang manusia yang terlalu tegas, tidak bertolak ansur, tidak mempunyai sikap toleransi serta tidak mengindahkan perasaan kakitangannya. Beliau juga telah mengabaikan ibunya dan telah menyingkirkan kekasihnya.

Beliau berseorangan dan kehidupannya sunyi tetapi beliau tidak sedar dan juga tidak mahu mengaku hakikat ini. Bekas ketua pejabatnya, seorang wanita, muncul semula dalam kehidupannya sebagai hantu tetapi dalam bentuk manusia biasa dan membolehkannya melihat semula kehidupannya di masa lampau dan pada masa akan datang. 

Akhirnya wanita ini mula menyedari akan kesilapannya dan dapat membentuk semula kehidupannya supaya ianya lebih bermakna dan bahagia. Namun masih adakah kesempatan untuk dirinya mengembalikan masa yang telah lalu?  


[KREDIT: RTM]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan