23 Dis 2018

BANGSAWAN ZHAO SI ANAK YATIM CURI TUMPUAN RAMAI



BANGSAWAN Zhao Si Anak Yatim terbitan Mekar Budaya Production menjadi persembahan penutup program Siri Semarak Bangsawan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN) untuk tahun 2018.

Pementasan ini telah berlangsung di Auditorium Tun Abdul Rahman, Matic, pada 21 hingga 23 Disember 2018.

Naskhah arahan dan skrip tulisan Lenny Erwan ini membariskan para pelakon seperti Jay Iswazir, Akid Jabran, Azril Ali, Fath Zahari, Izwan Ismail, Adie Yusoff, Ardila Misman dan lain-lain.



Zhao Si Anak Yatim mengambil latar masa pada zaman Dinasti Han yang ketika itu dikuasai sebuah kerajaan yang diperintah Maharaja Ling. Dua jeneral yang menjadi kepercayaan kerajaan itu, Jeneral Tu’an Gu dan Jeneral Zhao Dun saling bersaing untuk menjadi yang terbaik.

Jeneral Tu’an Gu telah memerangkap Jeneral Zhao Dun dalam satu kejadian, mengakibatkan Maharaja menjatuhkan hukuman bunuh kepada Zhao Dun. Bimbangkan pembalasan dendam di masa hadapan, Jeneral Tua’an Gu  menghasut Maharaja Ling untuk memerintahkan pula seluruh keturunan Zhao Dun dibunuh.

Bagaimanapun tindakan Cheng Ying menyembunyikan bayi Zhao Dun telah mengubah takdir mereka. Walaupun anak Cheng Ying sendiri yang menjadi korban, namun 20 tahun kemudian, dendam Zhao Dun terbalas apabila anak lelakinya itu berjaya menuntut keadilan atas kematiannya.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan