20 Dis 2018

JUALAN BUKU BIG BAD WOLF 2018 MENUTUP TIRAI DENGAN PENUH KEMERIAHAN


MENJELANG 2018 yang semakin ke penghujungnya, acara jualan buku terbesar di dunia, Jualan Buku Big Bad Wolf Kuala Lumpur juga telah menutup tirai dengan penuh perjalanan dan pengembaraan berakhir dengan catatan kunjungan lebih 500,000 orang di MIECC sepanjang 11 hari tempoh jualan mega tersebut.

Tahun ini, Jualan Buku Big Bad Wolf Kuala Lumpur telah berganding bahu dengan Astro Kasih Knowledge Zone menerusi unit Tanggungjawab Sosial Korporat, yang dikenali sebagai program ‘Red Readerhood,’ di mana orang awam digalakkan menderma buku kepada kanak-kanak kurang bernasib baik. 

Jualan Buku Big Bad Wolf telah mula mengemudi inisiatif ini dengan menderma 1,000 buah buku serta mengumpulkan sejumlah 16,376 buku sepanjang tempoh jualan 11 hari tersebut yang bakal memanfaati 3,000 kanak-kanak dari 29 rumah kebajikan di seluruh negara. 

“Kami sentiasa berusaha meningkatkan prestasi dalam setiap acara Jualan Buku. Matlamat kami ialah untuk sentiasa menyediakan platform supaya buku boleh diperolehi dengan harga mampu milik untuk semua orang. 
Oleh itu, kami berharap untuk melebarkan sayap ke lebih banyak lagi bandar raya dan negara pada tahun-tahun akan datang agar dapat menyemarakkan keseronokan membaca kerana tabiat membaca boleh mengilhamkan dan memperkasa cita-cita. 
  Sentiasa percaya untuk membawa satu kelainan dan sesuatu yang bermakna, kami amat terhutang budi kepada para pengunjung yang tegar menyokong usaha murni ini semenjak 2009 sehinggalah sekarang.  
Kami mempunyai pengunjung setia yang datang ke acara Jualan saban tahun semenjak 2009 lagi.  Mereka sebenarnya tulang belakang kepada perkembangan kami dari tahun ke tahun,” jelas Andrew Yap, Pengasas Big Bad Wolf Books. 

Menjelang Ulang Tahun Jualan ke-10 pada 2019 ini, Jualan Buku Big Bad Wolf akan menjelajah ke 10 negeri di Malaysia termasuk antaranya Pahang, Johor, Sarawak dan Melaka sebelum kembali ke Kuala Lumpur bagi meraikan Ulang Tahun Jualan Ke-10 pada Disember tahun hadapan.

“Perjalanan Jualan Buku ini pada tahun-tahun yang lepas adalah sangat mengujakan, dan kami berjaya mengekalkan integriti selama itu adalah disebabkan sokongan tidak berbelah bahagi daripada orang ramai yang terdiri daripada peminat tegar dan pengunjung setia daripada segenap lapisan masyarakat dan latar belakang. 
Pada 2019 ini, kami akan melebarkan sayap ke lebih banyak bandar raya di Malaysia bagi memastikan lebih ramai lagi orang dapat memiliki buku bacaan untuk dinikmati di kediaman masing-masing, kerana dari rumahlah segala impian itu bermula,” tambah Yap lagi.


Jualan Buku Big Bad Wolf semenjak 2009 telah berjaya menjelajah enam buah negara selain Malaysia iaitu Thailand, Indonesia, Filipina, Sri Lanka, Taiwan dan Emiriyah Arab Bersatu. 

Dengan 16 lokasi bandar raya jumlah keseluruhan sepanjang tahun, ia telah memberi impak yang positif kepada sekurang-kurangnya 3 juta orang dengan memberikan peluang kepada orang ramai memiliki buku bacaan pada harga mampu milik dan sekaligus menyebar dan memupuk tabiat minat membaca. 

Wawasan murni syarikat ini ialah merubah dunia pada tempoh sebuah buku pada satu masa, manakala sasaran Big Bad Wolf Books adalah untuk melebarkan sayap ke 45 bandar raya pada tahun hadapan, serta menjangkau capaian ke 100 bandar raya menjelang tahun 2020.


Mengenai Big Bad Wolf Books

Terkenal sebagai jualan buku terbesar di dunia, Jualan Buku Big Bad Wolf menyediakan buku-buku dengan menawarkan harga terendah serta diskaun sebanyak 75% hingga 95%. Matlamat utama Big Bad Wolf adalah untuk menggalakkan amalan membaca dalam kalangan masyarakat dengan memberi kemudahan dan akses bahan bacaan pada harga mampu milik.

Jualan buku ini menawarkan pelbagai buku daripada pelbagai kategori, termasuk buku jualan terlaris, fiksyen dan bukan fiksyen, fiksyen remaja, serta pelbagai koleksi buku kanak-kanak.

Jualan buku terunggul ini, yang diadakan oleh pengasas BookXcess, Andrew Yap dan Jacqueline Ng, telah menjadi satu acara tahunan istimewa di Kuala Lumpur, Malaysia sejak tahun 2009. Jualan buku besar-besaran ini telah merentasi bandar-bandar di Malaysia dan di luar negara seperti Thailand, Indonesia, Sri Lanka, Filipina, Taiwan dan Dubai, memenuhi permintaan peggemar buku di seluruh dunia.


[KREDIT: Big Bad Wolf]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan