17 Nov 2018

GITAR DALAM BEG, KEMBARA SOLO TEROKA MUZIK NUSANTARA


RTM tampil dengan sebuah program travelog kembara solo seorang komposer ke 13 buah bandar di Asia Tenggara menerusi Gitar dalam Beg.

Program 13 episod ini menyaksikan Syafi’i daripada kumpulan Ramayan bertindak sebagai hos dan bakal mengembara bersama penonton untuk berkongsi tentang pengalaman beberapa individu yang terlibat aktif dalam industri muzik negara serantau.

Melengkapkan misi tersebut, Syafi’i singgah di beberapa bandar di Asia Tenggara termasuklah Indonesia, Thailand, dan Cambodia.

Negara pertama dikunjungi ialah Jakarta, Indonesia yang bakal menyaksikan perkongsian dengan Faqeeh, seorang jurutera bunyi dan Pak Yan, A&R Universal Indonesia yang juga merupakan individu yang mengangkat artis Indonesia seperti Shiela On 7 dan Rossa.

Penonton turut dibawa menelusuri Gudang Sarinah, Blok M, Taman Suropati dan Jalan Sabang untuk menyaksikan persembahan pemuzik jalanan dan berkongsi pengalaman mereka sebagai anak seni.

Syafi’i kemudiannya ke Bandung yang terkenal sebagai kota kreatif dan kota muzik bagi Indonesia. Antara lokasi yang dikunjunginya ialah Jalan Braga, Gedung Sate, Taman Balai Kota dan Taman Sejarah Bandung yang sememangnya terkenal dengan keunikan persembahan muziknya. 

Diikuti perjalanan ke bandar Solo, Indonesia yang terkenal dengan irama keroncong. Bandar Solo penuh dengan ekspresi serta menampilkan pelbagai jenis arca, persembahan wayang orang dan muzik. 

Beralih ke Bangkok, Thailand, program ini akan membawa penonton ke Pasar Jatujak untuk bertemu dengan seorang pemuzik jalanan cilik berusia 12 tahun dan hebat bermain gitar. 

Antara penggiat lain yang ditemui ialah pensyarah dan penuntut Fakulti Muzik Universiti Sirapakon, pemilik Akademi Muzik Rockacademy dan lain-lain.

Syafi’i turut singgah ke Baan Silapin di Khlong Bang Luang untuk menyaksikan persembahan boneka dengan iringan muzik tradisional, selain ke North Gate Jazz Co-op yang terkenal dengan persembahan malam dari beberapa kumpulan muzik jazz.

Melengkapkan perjalanan pengembaraan program ini, penjelajahan diteruskan ke ke bandar Phnom Penh, Cambodia. Persembahan kumpulan muzik di sini kebanyakannya bertumpu di kafe dan pub. 

Paling mencuri perhatian tentunya di bandar Siam Reap di mana suasana malamnya sangat ‘hidup’ di mana banyak kafe mengalunkan pelbagai jenis genre muzik dan ada juga yang mengadakan persembahan tradisional. 



TRAVELOG GITAR DALAM BEG
Episod: 13      
Hari: Setiap Ahad (Mulai 18 November 2018)
Masa: 1.30 petang 
Saluran: TV1
Terbitan: RTM    
Pengacara:Syafi'i 



[KREDIT: RTM]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan