Hot Posts

6/recent/ticker-posts

1 ANUGERAH, DOKUMENTARI JELAJAH SELURUH NEGARA


PROGRAM terbaharu yang disiarkan RTM bertajuk 1 Anugerah,  akan membawa penonton mengunjungi dan memperkenalkan tempat-tempat yang terkenal dalam negara yang bakal menyaksikan keindahan alam semulajadi, kekayaan hutan hujan tropika, kepelbagaian biodiversiti dan kehidupan orang asli. 

Disampaikan secara santai, 13 episod program yang mula bersiaran 1 Julai ini, setiap Ahad, pukul 6.00 petang di TV1 ini juga mendedahkan pencemaran alam yang sedang berlaku, ancaman kepada hidupan liar serta usaha-usaha untuk memelihara alam semula jadi dan pemulihara spesis hidupan liar yang terkawal. 

Pada masa yang sama, potensi industri eko-pelancongan dari khazanah alam semulajadi ini turut diterangkan. 

Menampilkan hos Fiona Cheong, episod pertama melawat Pusat Penyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai, Perak bagi meninjau usaha-usaha yang diambil untuk melindungi dan memulihara spesis harimau yang terdapat di Malaysia. 

Turut dipaparkan mengenai ancaman kepada binatang ini dari jerat yang dipasang oleh penyeludup haiwan liar, rawatan yang diberi kepada harimau yang diselamatkan dari jerat dan di dapati tercedera serta penjagaan seterusnya.

Kemudiannya Fiona Cheong, melawat Taman Negara di negeri Pahang dan beliau berkongsi dengan penonton maklumat mengenai taman ini yang merupakan usaha kerajaan untuk memelihara satu ekosistem yang paling rumit dan kaya di dunia. 

Episod berikutnya memperkenalkan sejenis serangga, iaitu Kelip-Kelip yang mengeluarkan sejenis cahaya apabila ianya terbang pada waktu malam. Fiona Cheong telah menyusur Sg. Selangor untuk meninjau keindahan Kelip-Kelip ini. 

Beliau juga telah mengunjungi Taman Kelip-Kelip di Kampung Kuantan, Kuala Selangor dan telah singgah di Pusat Konservasi Kelip-Kelip di Sg Besar. Seterusnya hos telah melawat satu lagi tempat iaitu Kg. Dew di Taiping, Perak yang juga merupakan habitat serangga ini.

Turut dilakukan tinjauan usaha untuk membendung kepupusan spesis penyu di negara. Lokasi dilawati Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Pasir Panjang, Segari Perak. 




Seterusnya, beliau telah meninjau langkah-langkah pemuliharaan, dan penyelidikan penyu yang dilaksanakan di Terengganu. Beliau telah mengunjungi Pusat Penyelidikan Penyu dan Spesis Terancam (TUMAC) dan Galeri Biodiversiti Akuatik di Pantai Rantau Abang. 

Ada juga episod berkaitan pemuliharaan hidupan liar yang terancam kepupusan seperti rusa dan seladang. Beliau telah melawat Pusat Konservasi Hidupan Liar di Sungkai Perak dan berkongsi dengan penonton langkah-langkah yang sedang diambil untuk melindungi rusa. 

Seterusnya beliau juga telah mengunjungi Deerland di Lancang, Pahang di mana pebagai jenis hidupan liar dibela dan dipulihara terutamanya rusa jenis ‘Timorensis’. 

Tidak kurang menariknya lawatan ke Taman Tunku Abdul Rahman di Kota Kinabalu, taman marin yang terdiri dari lima pulau dan persekitarannya. Taman ini dikendalikan oleh pengurusan Taman-Taman Laut, Sabah. 

Pelbagai langkah diambil untuk memelihara dan memulihara ketulenan, kebersihan, keindahan dan kekayaan laut dan flora serta fauna yang terdapat di taman marin ini. Lawatan Fiona ke Pulau Sapi, Pulau Manukan dan Pulau Manutek dan laporan beliau mengenai aktiviti ekopelancongan di kawasan ini turut dipaparkan. 

Lain-lain episod berkongsi maklumat mengenai Taman Negara, Pulau Pinang, Paya Indah, pemulihan hidupan liar yang unik iaitu Orang Utan di Sepilok, Sabah dan Lake Town, Bukit Merah, Taiping, Perak Darul Ridzuan. Lawatan ke dua tempat di Malaysia yang merupakan habitat pelbagai jenis burung yang cantik dan unik. 

Beliau bermula dengan kunjungan ke Santuari Burung, Kuala Gula, Kerian, Perak yang menjadi tempat tumpuan burung air dan burung migrasi. Seterusnya, beliau ke Sabah untuk meninjau habitat burung di Rainforest Discovery Centre di Sandakan. Burung-burung di sini tidak berhijrah dan menetap di atas pokok dalam hutan hujan tropika.

Ikuti juga paparan berkaitan satu jenis flora yang unik kepada Malaysia iaitu lawatan ke Pusat Sejadi Rafflesia di Daerah Tambunan untuk meninjau bunga ini yang dikatakan sebagai yang terbesar di dunia diikuti lawatan ke Pusat Konservasi Beruang Madu di Sandakan dan memperkenalkan kepada penonton Beruang Madu dan langkah-langkah pemeliharaan, pemulihan dan penyelidikan mengenai haiwan ini yang kini hampir pupus.



Dokumentari 1 Anugerah
Episod: 13    
Hari: Setiap Ahad
Masa: 6.00 Petang 
Saluran: TV1 
Terbitan: RTM  
Pengacara: Fiona Cheong


[KREDIT: RTM]

Post a Comment

0 Comments