5 Jun 2018

PELUKIS MALAYSIA, CHOK YUE ZAN DIPILIH MENYERTAI RESIDENSI PELUKIS MUZIUM ASIA UOB-FUKUOKA


UNITED Overseas Bank Berhad (UOB Malaysia) hari ini mengumumkan bahawa Encik Chok Yue Zan, pemenang Pertandingan 2017 UOB Painting of the Year (Malaysia) telah dipilih untuk Program Residensi Pelukis Muzium Seni Asia UOB-Fukuoka (FAAM)  yang berprestij. 

Bank telah melakukan pengumuman tersebut di upacara pelancaran pertandingan 2018 UOB Painting of the Year (Malaysia), yang kini dalam tahun kelapannya.

Setiap tahun, seorang pelukis akan dipilih dari kalangan pemenang UOB Painting of the Year dari Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand untuk menyertai program residensi tersebut. Sebagai sebahagian daripada proses pemilihan, setiap pelukis akan menjalani beberapa wawancara teliti. 

Kajian terperinci ke atas setiap portfolio pelukis juga akan dijalankan. Program Residensi Pelukis UOB-FAAM yang berlangsung selama sebulan merangkumi bengkel, kuliah dan pameran di samping menawarkan peluang kepada para pelukis untuk berinteraksi dengan rakan setara dari seluruh dunia yang menghadiri atau melawat FAAM di Fukuoka, Jepun.

“Memenangi anugerah UOB Painting of the Year (Malaysia) yang berprestij pada tahun lepas merupakan satu pencapaian amat besar bagi saya. Sebagai tambahan, untuk dipilih menyertai Program Residensi UOB-FAAM adalah satu penghormatan bagi seorang pelukis muda seperti saya. 
Saya tidak sabar meluangkan masa sebulan untuk bekerjasama dan belajar dari pelukis antarabangsa lain di samping mengalami budaya baru dan berkongsi karya seni saya dengan penonton yang lebih luas,” kata Encik Chok.



Encik Chok memenangi pertandingan 2017 UOB Painting of the Year (Malaysia) untuk karya seninya yang bertajuk, ‘I Thought, We Could Stay Strong Like Stones’. Pelukis berusia 24 tahun ini mengagumkan panel pakar seni dengan kemahiran teknikalnya serta penggunaan media campuran yang kreatif untuk menimbulkan perasaan nostalgia. 

Melalui lukisan tersebut, Encik Chok menafsirkan semula potret keluarganya bagi menyerlahkan kedalaman dan keteguhan hubungan kekeluargaan dalam persekitaran kehidupan yang semakin berubah. 

Sejak memenangi pertandingan, karya seni Encik Chok telah dipilih untuk dipamerkan di pameran seni Asia Tenggara yang terkemuka, iaitu di ART STAGE Singapura . Karya seni beliau juga merupakan inspirasi reka bentuk Laporan Tahunan 2017 UOB serta anak-anak syarikatnya.

Encik Wong Kim Choong, Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, berkata, 

“Kami amat gembira dengan kejayaan Encik Chok kerana kami mengetahui betapa pentingnya usaha memperjuangkan seni serantau dengan mencungkil, memupuk dan mempromosikan bakat seni tempatan ke persada antarabangsa. 
Melalui Pertandingan UOB Painting of the Year (Malaysia) dan pelbagai program seni kami, kami mewujudkan peluang untuk mengilhamkan bakat artistik di samping meneruskan minat mereka, dan membantu membangunkan generasi pelukis Asia Tenggara yang terbaik dalam masa akan datang.”

FAAM adalah satu-satunya muzium di dunia yang mengumpul dan mempamerkan karya seni Asia yang moden dan kontemporari. Ia mempunyai koleksi tetap melebihi 2,900 karya seni. 

Sejak pertandingan mula diadakan di Malaysia pada 2009, tiga  pemenang Pertandingan UOB Painting of the Year (Malaysia) yang lain telah melengkapkan program residensi di Muzium Seni Asia Fukuoka.




Penyertaan untuk Pertandingan 2018 UOB Painting of the Year (Malaysia)

Penyertaan untuk Pertandingan 2018 UOB Painting of the Year (Malaysia) kini dibuka. Para pelukis, yang baru dan berpengalaman, dijemput untuk mengemukakan penyertaan mereka dengan mengisi borang penyertaan dan menyediakan gambar karya seni mereka. 

Borang penyertaan boleh didapati secara dalam talian di www.uobpoy.com dan di semua cawangan UOB Malaysia di seluruh negara. Penyertaan akan ditutup pada Selasa, 28 Ogos 2018, jam 5.00 petang.

Pemenang anugerah 2018 UOB Painting of the Year (Malaysia), yang akan diumumkan di majlis anugerah di Kuala Lumpur pada Oktober, akan bertanding untuk anugerah 2018 UOB Painting of the Year Asia Tenggara di Singapura pada November.

Pemenang 2018 UOB Painting of the Year (Malaysia) akan menerima RM100,000 dan berpeluang untuk bertanding dalam anugerah 2018 UOB Painting of the Year Asia Tenggara (bernilai jumlah tambahan sebanyak US$10,000 atau RM39,700), serta program residensi selama sebulan di Muzium Seni Asia Fukuoka, Jepun.

Untuk maklumat lanjut mengenai pertandingan, sila layari www.uobpoy.com.


[KREDIT: UOB]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan