Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Skuad Cinta Nana Mahazan, Angah Raja Lawak


HUBUNGAN kekeluargaan begitu penting sekali kerana tanpa keluarga siapalah kita. Dalam keadaan teknologi yang semakin canggih, jarang sekali kita dapat melihat satu keluarga memanfaatkan masa bersama-sama. 

Bertemakan pengukuhan hubungan kasih sayang sesama keluarga, RTM menyiarkan program Skuad Chenta yang telah pun mula bersiaran pada 27 Januari lalu.

Menampilkan gandingan mantap Nana Mahazan dan Angah Raja Lawak, program 13 episod menemui penonton setiap Sabtu, pukul 12.30 tengah hari di TV1, mereka ditugaskan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh individu atau pasangan terpilih. 

Mereka meluangkan masa bertemu dengan individu yang memerlukan bantuan untuk meringankan beban dalam tempoh tertentu. Mereka juga akan bertindak mengambil alih tugasan individu tersebut manakala individu itu akan meluangkan masanya sendiri yang berkualiti untuk tujuan meringankan tekanan.

Skuad Chenta menonjolkan Angah dan Nana misi dalam sebuah kumpulan ‘elit’ dinamakan sebagai Skuad Chenta dan mereka digelar sebagai Ejen Angah dan Ejen Nana. 




Antara tugasan mencabar mereka bertemu dengan En. Mohd Azizi yang merupakan seorang bapa tunggal yang telah kematian isterinya. Beliau mempunyai jadual yang padat yang mana di samping bekerja, beliau juga perlu menguruskan empat orang anaknya yang masih kecil. Jadual beliau bermula dari pagi sehinggalah sampai ke waktu malam untuk menidurkan anak-anaknya. Ini termasuklah mengulang kaji pelajaran mereka serta mengajar mengaji Al-Quran. 

Ejen Angah membawa En. Azizi untuk sesi rawatan urutan terapi di sebuah pusat terapi lelaki. Ejen Nana pula bertindak menjaga 4 orang anak-anak tersebut dan mengajar mereka cara menghasilkan layang-layang dan bermain di taman. Setelah selesai, En. Azizi berasa gembira dan berpuas hati dengan rawatan terapi tersebut yang membantu mengurangkan tekanan beliau pada hari tersebut.

Menerusi episod seterusnya Ejen Angah dan Ejen Nana perlu membantu satu pasangan yang menghadapi masalah kekangan masa untuk bersama. Mereka ialah pasangan suami isteri, Ahmad Shahyir yang bekerja sebagai pelayan restoran pada waktu malam dan isterinya, Puan Ain Filzah, pegawai pemasaran yang bekerja pada waktu siang. Mereka jarang dapat menghabiskan masa bersama kerana bekerja dalam berlainan syif. 




Ejen Nana menemukan mereka berdua di sebuah studio tarian dan situasi ini mengejutkan mereka apabila melihat masing-masing berada di studio tarian tersebut. Ejen Angah pula berkorban dengan mengambil alih tugasan Shahyir sebagai pelayan di restoran. Seorang guru tarian mengajar pasangan tersebut untuk menari tarian ‘salsa’ dan mereka menghabiskan masa bersama selama beberapa jam mempelajari tarian tersebut sebelum membuat persembahan. Mereka akhirnya berasa puas dengan masa yang dimanfaatkan bersama.

Selami nasib malang menimpa sebuah keluarga di mana rumah mereka telah terbakar baru-baru ini. Ejen Nana bertindak bertemu dengan Puan Khalila untuk mengetahui lanjut tentang insiden tersebut. Ejen Angah pula bertemu dengan 3 orang anak Puan Khalila dan membawa mereka ke Balai Bomba bertemu dengan 2 orang pegawai bomba. Mereka diberi taklimat ringkas berkaitan kebakaran serta melihat demonstrasi memadam api oleh pihak bomba. Selepas itu, mereka bertiga sendiri merasai pengalaman memadam api menggunakan alat pemadam dengan pengawasan pihak bomba. 

Ejen Nana dibawa oleh Puan Khalila melawat rumah yang terbakar dipercayai akibat litar pintas. Kemudian beliau membawa Puan Khalila membeli barang keperluan seperti periuk nasi, cerek elektrik, tilam serta bantal untuk mengurangkan beban yang dihadapi oleh mereka sekeluarga.



Skuad Chenta
Episod: 13
Hari: Sabtu
Masa: 12.30 Tengahari
Saluran: TV1 
Pengacara: Nana Mahzan & Angah Raja Lawak

Post a Comment

0 Comments