1 Nov 2017

500 RIBU PEMINAT GEMPARKAN KARNIVAL JOM HEBOH DI JOHOR BAHRU!


CUACA panas terik sepanjang penganjuran Karnival Jom Heboh yang telah berlangsung pada 27 dan 28 Oktober lepas bukan penghalang orang ramai untuk memeriahkan lagi acara tersebut. 

Melabuhkan tirainya di Angsana Johor Bahru, seramai 500,000 pengunjung telah membanjiri acara padang terbesar TV3 ini dari pukul 10 pagi hingga 9 malam.

Selain bertujuan mendekatkan para pengunjung dengan TV3, Karnival Jom Heboh yang ditunjangi beberapa booth seperti Bananana Land, Cerekarama, Raudhah, Gelanggang #KitaJuara, Inspirasi. Tonton, Hot FM & Kool FM dan NSTP telah menawarkan pelbagai tawaran dan aktiviti istimewa dengan kehadiran barisan selebriti popular.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Encik Johan Ishak, 

“Karnival Jom Heboh yang telah dianjurkan sejak tahun 2003 membuktikan bahawa acara padang ini sememangnya berjaya mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. 
"Jutaan terima kasih kepada 500,000 orang pengunjung yang telah hadir seawal pukul tujuh pagi untuk beriadah di lokasi terakhir ini kerana sokongan anda semua amat bermakna buat kami.  
"Kami juga ingin berterima kasih kepada pihak kerajaan negeri dan pihak berkuasa yang membantu kami untuk menjayakan karnival ini. Insya Allah karnival ini akan diteruskan lagi pada tahun hadapan.”



Seperti biasa, booth-booth utama menjadi tarikan utama setiap kali Karnival Jom Heboh dianjurkan. Kesemua booth ini dibuka kepada pengunjung seawal pukul 10 pagi hingga 9 malam. 

Booth Bananana Land yang sememangnya menjadi pilihan kanak-kanak menampilkan Achok, Chiwan, Harris Alif, Afieq Syazwan dan Wanss Ahmad sambil melakukan pelbagai aktiviti menyeronokkan seperti mewarna, mempelajari seni reka dan bergambar bersama maskot Ejen Ali!. 




Di booth Cerekarama, pengunjung pula teruja kerana dapat bertemu dengan barisan pelakon popular tanah air seperti Zoey Rahman, Ryzal Jaafar, Syazuwan Hassan dan Sasqia Dahuri.

Di Gelanggang #KitaJuara bersama Faiz Tapaw selaku pengacara pula, para peminat sukan bola sepak telah mengambil bahagian dalam perlawanan Street Soccer 3 lawan 3 Kita Juara, melihat persembahan Freestyler Kita Juara dan perlawanan di antara pasukan Kita Juara melawan artis jemputan pilihan selebriti KJH Johor. 

Satu kelainan, para pengunjung juga sempat untuk berswafoto dengan trofi Liga Super 2017 serta menyertai sesi ramah mesra bersama pemain Bola Sepak Johor Darul Ta’zim iaitu Farizal Marlias, Mahali Jasuli dan Azammudin Akil di booth ini.




Booth yang memberi pelbagai info kesihatan dan gaya hidup iaitu booth Inspirasi pula membariskan personaliti seperti Chef Naem, Aziz Harun, Cassidy La Crème bersama hos Shah Tapaw dan Aliff Yasraff. 
Para pengunjung turut beramal dengan memotong dan menggayakan rambut mereka melalui khidmat yang disediakan oleh Khal Hair Salon untuk aktiviti khidmat masyarakat bagi mengumpul dana Tabung Bersamamu. 

Tidak ketinggalan, booth Raudhah yang berkonsepkan Islamik juga telah menyediakan pengisian kerohahian yang dikendalikan oleh Da’i Syed dan Da’i Luqman. Di booth ini, Da’i Hakim, Da’i Fahmi dan Da’i Afiqah berkongsi ilmu kepada para pengunjung yang hadir di sesi Salam Da’i.




Para pengunjung juga beramah mesra dengan duta tonton iaitu Redza Rosli di booth tonton. Selain itu, booth tonton turut disertai oleh Neera Azizi dan Daler Yusuf bersama hos Nisa Kay, Zack dan Kamal Sumbu.  

Tidak ketinggalan, Rangkaian Radio Media Prima (MPRN) iaitu Hot FM dan Kool FM turut turun padang dan membariskan para penyampai mereka seperti Fizi, Issey dan Deen daripada Hot FM serta Muaz dan Ikhwan daripada Kool FM. 

Pelbagai cenderahati daripada Rangkaian Televisyen (TV3, ntv7, 8TV, TV9), Hot FM, Kool FM, Bananana!, Ejen Ali dan Raudhah juga dijual kepada orang ramai yang berkunjung ke booth Wow Bag. 




Turut memeriahkan lagi carnival ini ialah Bazar Selebriti yang menampilkan selebriti popular seperti Zoey Rahman, Taleeb Mizad, Zul Huzaimy, Akhmal Nazri, Shah Sulaiman, Syaffiq Sahli, Majalah Gila-Gila (Kartunis) serta Zee, Acap dan Faiz. 

Para selebriti ini menjual pelbagai jenis produk keluaran mereka yang dibawakan khas untuk pengunjung di Angsana Johor Bahru.

Lebih menarik lagi, KJH Johor Bahru turut menerima kunjungan Ketua Polis Johor, (CP) Datuk Mohd Khalil Bin Kadir Mohd dan Ahli Parlimen Johor Bahru merangkap Pengerusi FELDA iaitu YB Tan Sri Shahrir Abdul Samad sebagai tanda sokongan kerajaan terhadap program yang menerima sambutan hangat ini. 




Masyarakat tempatan juga beriadah dalam aktiviti Jom Sihat yang disertai oleh Aedy Asyraf, jurulatih wanita Jessica Ong serta personaliti TV3 seperti Ally Iskandar, Anim Ezati, Hazrena Kasim, Uyaina Arshad, Fedtri Yahya dan Fiza Sabjahan.

Acara kemuncak iatu Konsert Jom Heboh telah berlangsung pada hari Jumaat, 9.00 malam di pentas utama KJH yang menampilkan bintang-bintang kelahiran program realiti Mentor Milenia iaitu Along, Zetty, Qody, Syeera dan juga Fareez. 

Manakala pada malam Sabtu pula, Konsert Hot Kool Jam telah menghangatkan lagi suasana di Angsana Johor Bahru mulai pukul 9.00 malam dengan barisan penyanyi seperti Tam Spider, Aiman Tino, Neon, Exists dan juga Nastia. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan