EVO Mall Bangi bakal menghidupkan suasana Pantai Timur selama tiga hari melalui penganjuran Festival Warisan Selera Timur, yang berlangsung dari 5 hingga 7 Disember.
Festival ini dirangka sebagai platform untuk memperkenalkan kekayaan budaya serta keunikan gastronomi Kelantan, Terengganu dan Pahang kepada pengunjung di sekitar Lembah Klang.
Mengangkat tagline ‘Rasa Ori Tiga Negeri’, acara ini membawakan lebih 100 hidangan ikonik dari vendor-vendor Industri Kecil dan Sederhana (IKS), selain mengetengahkan produk autentik Pantai Timur yang jarang ditemui di bandar besar.
Seluruh festival dirangka bukan sekadar sebagai pesta makanan, tetapi ruang untuk memperkasakan usahawan dan melebarkan jaringan mereka kepada pasaran baharu.
Antara hidangan yang menjadi tumpuan termasuk Satar dan Otak-Otak Warung Azis Satar Kemaman, Keropok Celup Tepung dari Terengganu, serta Ketupat Sotong Dapur Aryani.
Turut disajikan ialah Nasi Kerabu, Laksa dan Laksam yang meraikan identiti Kelantan dan Terengganu, di samping pilihan popular lain seperti Keropok Gemok dari Pasar Payang, Temosa Raja Ikan & Telur, Puding Raja, Sambal Hitam Marvel dan aneka kuih tradisional.
Acara ini turut mendapat sokongan strategik daripada Tourism Malaysia sebagai sebahagian usaha mempromosikan Visit Malaysia 2026, sekali gus mengukuhkan peranan festival ini sebagai pemacu budaya dan ekonomi setempat.
Budaya, Seni & Persembahan Ikonik Pantai Timur
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Evo Mall Bangi, Zetty Rahim, festival ini bukan sekadar pesta makanan, tetapi ruang untuk memperkenalkan budaya, kesenian, dan tradisi Pantai Timur kepada pengunjung Lembah Klang.
"Penganjuran festival seumpama ini adalah bertujuan untuk memperkenalkan lagi budaya, warisan, dan kesenian negeri-negeri Pantai Timur. Dengan kerjasama rakan-rakan penaja lain, penganjuran kali ini lebih meriah dengan sasaran 30,000 pengunjung,” ujarnya.
Selain pengalaman kulinari, pengunjung turut disajikan pelbagai aktiviti seni dan budaya. Malam Jumaat menampilkan persembahan Dikir Barat istimewa bersama selebriti Issey dan kumpulan Dikir Exclusive, manakala malam Sabtu menyaksikan Malam Irama Pantai Timur yang menampilkan Ameng Spring, Rosma Sidik dan Syafiq Farhain yang mewakili negeri kelahiran mereka.
Pengunjung turut berpeluang menikmati persembahan tradisional seperti Ulek Mayang dari Terengganu dan Joget Pahang. Pada hari Ahad pula, festival menampilkan sesi perkongsian istimewa oleh The Helmis, yang akan berkongsi pengalaman mereka berlayar dalam Misi Kemanusiaan Sumud Flotilla.
Tambahan itu, festival ini turut menawarkan aktiviti keluarga dan komuniti termasuk Pertandingan Mewarna, Bengkel Mencanting Batik, Bengkel Silat Gayong, demonstrasi masakan tradisional, Cabaran Batu Seremban dan pertandingan menghias pulut kuning dijangka mewujudkan suasana santai yang sesuai untuk semua peringkat umur.
Festival ini dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam sepanjang tiga hari berlangsung. Penduduk Lembah Klang dijemput hadir dan merasai sendiri kepelbagaian warisan Pantai Timur menerusi makanan, seni dan budaya yang dibawakan khas ke Evo Mall, Bandar Baru Bangi bermula 5 hingga 7 Disember 2025. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 تعليقات