MERDEKA 118, bangunan tertinggi di Malaysia dan kedua tertinggi di dunia, mencipta sejarah tersendiri apabila muncul dalam filem aksi Marvel Studios berjudul Thunderbolts. Filem arahan Jake Schreier itu mula menghangatkan pawagam bermula hari ini, 1 Mei 2025.
Babak aksi mendebarkan yang dijayakan oleh Florence Pugh sebagai Yelena Belova itu menyaksikan pelakon tersebut melakukan terjunan dari mercu tanda kebanggaan rakyat Malaysia yang berketinggian 678.9 meter itu dengan latar panorama menakjubkan kota Kuala Lumpur.
Aksi berani ini menjadikan Merdeka 118 sebagai tumpuan global, sekali gus membangkitkan rasa bangga dan teruja dalam kalangan penonton tanah air yang pasti mengenali siluet ikonik mercu tanda ibu kota itu di layar lebar.
Selain itu, penonton juga dapat melihat wajah-wajah lokal dalam beberapa babak yang dirakam di sekitar Kuala Lumpur.
Penggambaran yang dijalankan pada Ogos 2024 itu turut melibatkan kerjasama erat antara Marvel Studios dan pasukan produksi serta bakat tempatan termasuk jurutera serta pelakon Syaza Atheera.
Menurut Jake Schreier selaku pengarah, aksi stunt dalam filem ini benar-benar luar biasa.
"Kami berunding dengan firma kejuruteraan tempatan untuk memastikan aspek keselamatan, terutamanya dari segi rekaan kelengkapan aksi.
“Kami fokus pada aksi ‘base jump’ terlebih dahulu sebelum melaksanakan keseluruhan babak. Florence perlu melakukan sepenuhnya dalam watak, tanpa potongan antara babak dan dia benar-benar komited serta berjaya melakukannya dengan sempurna,” ujarnya.
Bagi meraikan tayangan filem ini, Merdeka 118 akan disinari dengan pencahayaan khas bertemakan Thunderbolts bermula dari 29 April hingga 1 Mei, dari jam 8 hingga 12 tengah malam.
Raikan detik bersejarah Malaysia di pentas antarabangsa apabila Merdeka 118 berubah menjadi penghormatan gergasi buat para adiwira paling luar biasa Marvel.
Jangan ketinggalan menonton video eksklusif di sebalik tabir penggambaran aksi di Merdeka 118, yang kini sudah boleh ditonton di saluran rasmi Walt Disney Studios Malaysia.
Thunderbolts menyatukan semula kumpulan watak antihero luar biasa seperti Yelena Belova, Bucky Barnes, Red Guardian, Ghost, Taskmaster dan John Walker.
Mereka terperangkap dalam perangkap maut dirancang oleh Valentina Allegra de Fontaine, dan perlu menjalani misi berbahaya sekali gus memaksa mereka berdepan masa silam yang gelap.
Filem ini dibintangi oleh Florence Pugh, Sebastian Stan, Wyatt Russell, Olga Kurylenko, Lewis Pullman, Geraldine Viswanathan, Chris Bauer dan Wendell Pierce, bersama David Harbour, Hannah John-Kamen dan Julia Louis-Dreyfus. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 تعليقات