KOMPOSER legenda, Datuk S Atan meninggal dunia di kediamannya di Kajang, akibat jangkitan kuman paru-paru sekitar 2.23 petang Sabtu.
Berita kematian S Atan atau nama sebenarnya Hashim Said, 75, disahkan isterinya, Datin Norizan Yeob.
"Benar, S Atan sudah meninggal dunia. Saya akan maklumkan perkembangan berikut sebaik semuanya diuruskan," ujarnya sebagaimana dilaporkan media.
Terdahulu pada September lalu, media melaporkan Allahyarham S Atan dimasukkan ke sebuah pusat perubatan, akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
S Atan yang berasal dari Singapura, cukup masyhur dengan koleksi lagu raya malar segar seperti Balik Kampung, Menjelang Hari Raya, Dari Jauh Ku Pohon Maaf, Cahaya Aidilfitri, Indahnya Beraya Di Desa dan banyak lagi.
Selama hampir lima dekad dalam industri, Allahyarham pernah berkerjasama dengan ramai artis popular tanah air termasuk Allahyarham Tan Sri SM Salim, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk DJ Dave, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Sheila Majid dan lain-lain.
Pada Ogos 2023, S Atan dikurniakan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) membawa gelaran Datuk pada sambutan Hari Jadi Ke-74 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam.
Sementara pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-35 pada 11 Okotber lalu pula, composer itu menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat atas sumbangan besarnya dalam bidang penciptaan lagu dan khazanah muzik Melayu dalam industry muzik tanah air. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments